Juara dunia: Tahniah pemanah tradisional negara

- Advertisement -

DACS DPP Malaysia mengucapkan tahniah kepada pemanah tradisional negara, Ahmad Al-Rafaie Geharu Ali dan Muhamad Najmuddin yang telah menjadi juara dunia dan tempat ketiga di Pertandingan Memanah 7th Conquest Cup Fetih Kupasi, Istanbul, Turki.

- Advertisement -

Conquest Cup Fetih ini merupakan pertandingan memanah tradisional bertaraf dunia. Ia dianjurkan setiap tahun sempena memperingati sejarah kegemilangan Islam di Turki bilamana Sultan Muhammad Al Fatih telah membuka dan membebaskan Kota Konstantinopel pada tanggal 29 Mei 1453. Pertandingan kali ini merupakan kali ke-7 dianjurkan yang mana telah disertai oleh 520 pemanah dari 52 buah negara.

Wakil dari Malaysia seramai 4 orang yang mewakili kelab memanah masing-masing. Mereka ialah Ahmad Al Rafaie Ali dari Kelab Memanah MBJB, Johor, Muhammad Najmuddin Badron dari Akademi Pemanah Warisan, Selangor, Ustaz Yusuf Zin dari Kelab Memanah Sunnah Al-Istinsar, Selangor dan Nor Hayati Yaacob dari Akademi Memanah MBBS, Negeri Sembilan.

DACS DPP Malaysia berharap agar sukan tradisional sunnah ini dapat dikembangluaskan lagi kepada masyarakat di Malaysia selaras dengan saranan baginda Nabi Muhammad SAW yang menggalakkan umatnya untuk memanah.

“Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah) dan tunggangilah (kuda).” (Riwayat Muslim).

“Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.”(Riwayat Bazzar, dan Thabarani).

Semoga dengan kejayaan dua orang pemanah dari Malaysia ini dapat membuka mata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengembangkan lagi sukan ini ke seluruh negara bagi melahirkan lebih ramai lagi bakat-bakat baru. Pertandingan-pertandingan rasmi peringkat negeri dan daerah perlu diperbanyakkan beserta bajet yang mencukupi agar pelaksanaan sempurna dan tidak sekadar melepaskan batuk di tangga.

Kejayaan Ahmad Al Rafaie telah menjadi bukti bahawasanya pemanah negara adalah yang terhebat di dunia dan patut diangkat sebagai ikon bagi para atlet di seluruh negara. Sokongan dari KBS amat ditagih agar kejayaan ini tidak terhenti di sini sahaja. Program-program susulan perlu dirancang agar kejayaan selaku juara dunia ini dapat kita kecapi setiap tahun.

“Islam Memimpin”

MUHAMMAD FADZLI ABU BAKAR
Pengarah Department of Arts, Culture and Sports (DACS)
Dewan Pemuda PAS Malaysia.- HARAKAHDAILY 30/5/2019

- Advertisement -