Inkues Adib: Ummah buat laporan polis

Kamaruzaman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (Ummah) hari ini membuat laporan polis supaya menyiasat Peguam Negara, Tommy Thomas yang dilihat mencampuri urusan prosiding inkues kematian Mohammad Adib Mohd Kasim.

- Advertisement -

Timbalan Presidennya, Kamaruzaman Mohamad berkata laporan itu dibuat berikutan terdapat campur tangan Peguam Negara terhadap kes itu.

“Hal ini seolah-olah peguam negara menggunakan kuasa beliau untuk memastikan keputusan inkues seperti mana pendiriannya.

“Dan arahan supaya Syazlin menarik diri juga kerana dilihat bertentangan dengan pendirian peguam negara,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Berikutan itu, pihaknya meminta supaya peguam negara disiasat di bawah seksyen 212 kanun keseksaan kemungkinan melindungi pesalah melalui kacau ganggu ke atas prosiding inkues.

Manakala, seksyen 219 kanun keseksaan kemungkinan mengunakan jawatan awamnya sebagai peguam negara dengan cara tidak jujur dan jahatnya serta cuba menindas keadilan dalam prosiding tersebut.

Beliau juga meminta supaya siapa sahaja yang terlibat dengan kes ini mesti diambil tindakan tegas.

Pihak Ummah bersama gabungan badan bukan kerajaan akan menghantar satu memorandum ke pejabat peguam negara menuntut supaya meletak jawatan pada esok hari jam 11 pagi.

Memorandum juga akan dihantar kepada Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong selepas hari raya nanti supaya memecat peguam negara yang dilihat tidak lagi sesuai berada di posisi itu.

Terdahulu, seorang peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Syazlin Mansor menarik diri secara tiba-tiba dan didakwa terdapat arahan menyuruh beliau menarik diri.

Ia berikutan terdapat sepucut surat ,mengarahkan Syazlin menarik diri. – HARAKAHDAILY 30/5/2019

- Advertisement -