Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (25)

- Advertisement -

قَالَ لَهُۥ صَاحِبُهُۥ وَهُوَ يُحَاوِرُهُۥٓ أَكَفَرۡتَ بِٱلَّذِي خَلَقَكَ مِن تُرَابٖ ثُمَّ مِن نُّطۡفَةٖ ثُمَّ سَوَّىٰكَ رَجُلٗا

- Advertisement -

“Berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia berbincang dengannya: “Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?”

لَّٰكِنَّا۠ هُوَ ٱللَّهُ رَبِّي وَلَآ أُشۡرِكُ بِرَبِّيٓ أَحَدٗا

“Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku.”

Penekanan utama ayat:

●     Amar maaruf nahi mungkar

Ketahuilah tugas mencegah kemungkaran adalah fardu ain kepada semua orang beriman, mengikut kemampuan masing-masing. Ini bersandar sabda Rasulullah S.A.W:

مَنْ رَأَى مِنْكُم مُنْكراً فَلْيغيِّرْهُ بِيَدهِ ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطعْ فبِلِسَانِهِ ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبقَلبهِ وَذَلَكَ أَضْعَفُ الإِيمانِ

“Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka dia perlu mencegah dengan tangannya. Jika tidak mampu maka dengan lidahnya. Jika tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.”

[HR Muslim]

Kewajipan paling utama digalas oleh pemerintah. Mereka bertanggungjawab menghalang kemungkaran berlaku dengan kuasa yang dimiliki. Permit, peraturan dan penguatkuasaan perlu diteliti supaya tidak memungkinkan maksiat daripada berlaku.

Di peringkat kedua pula adalah orang awam normal. Walaupun mereka tidak memiliki kuasa, tetapi mereka juga tetap wajib mencegah dengan bersuara menegur, melapor, membantah dan apa jua ruang yang boleh digunakan selagi tidak melanggar undang-undang. Kelebiham alam siber hari ini sepatutnya digunakan dalam mencegah kemungkaran dengan pencerahan, kecaman, desakan dan mobilisasi massa.

Peringkat paling rendah adalah mereka yang dianggap abnormal (cacat). Bagi mereka yanh tidak mampu bersuara langsung walau sekecil ruang, maka sekurang-kurangnya lahirkan kebencian di hati. Jangan sekali-kali redha, jauh sekali tertarik dan tergoda dengannya. Jika tidak, maka periksalah diri, apakah masih punya iman berbaki.

●      Kejadian manusia

Manusia adalah makhluk yang tuhan jadikan berasal daripada tanah. Tanah juga adalah makhluk tuhan. Manusia yang diciptakan daripada tanah itu adalah Nabi Adam A.S sebelum ditiupkan pada roh. Kemudian diciptakan pasangannya Saidatina Hawa daripada tulang rusuk Nabi Adam A.S. Daripada Adam dan Hawa kemudian diciptakan manusia, melalui titisan air mani. Seterusnya begitulah kitaran hidup manusia, terjadi daripada air mani lelaki yang bersenyawa dengan benih wanita.

●      Konsep ukhuwwah

Lelaki beriman mengajarkan kita konsep ukhuwwah yang sejati. Beliau kasih kepada saudaranya kerana Allah. Justeru beliau tidak mahu saudaranya terus dalam kekufuran tersebut yang akan menyebabkan beliau gagal di akhirat. Bukan seperti orang acah-acah berukhuwwah hari ini, tidak sanggup menegur kawan bimbang hubungan di dunia terjejas. Padahal secara tidak sedar merelakan kawannya disambar api neraka.

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini menerangkan bagaimana sikap sebagai seorang beriman apabila berkawan dengan seorang yang kufur. Walaupun keduanya adalah sahabat, hubungan mereka tidak menjadi penghalang untuk salah seorang menegur kesalahan sahabatnya. Jelas mengatakan kebenaran walaupun kata-kata tersebut tentu sekali tidak akan digemari oleh sahabatnya.

Apa yang dilakukan oleh sahabat tersebut kerana beliau memahami sunnatullah bala bencana.  

Walaupun hukum alam boleh menjustifikasikan fenoma bencana yang berlaku, tetapi orang beriman wajib memahami bahawa semua bencana ini adalah akibat salahlaku manusia sendiri. Firman Allah S.W.T:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

[Ar-Rum:41]

Pencegahan kemungkaran adalah satu kemestian di akhir zaman bagi mengelakkan bala bencana hukuman tuhan turut terkena terhadap semua. Ini kerana konsep asal bala bencana mengenai semua pihak tidak kira yang baik mahupun jahat. Firman Allah S.W.T:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.”

[Al-Anfal:25]

Nabi S.A.W juga bersabda menyatakan bala bencana akan tetap menimpa walaupun terdapat orang baik di tempat tersebut:

لا إله إلا اللهُ، ويلٌ للعربِ من شرٍّ قد اقترب، فتحَ اليومَ من ردمِ يأجوجَ ومأجوجَ مثلُ هذه ) .، قيل : أنهلِك وفينا الصالحون ؟ قال : ( نعم، إذا كثُر الخبثُ ) .

“Tiada tuhan melainkan Allah. Binasalah orang Arab daripada keburukan yang semakin hampir. Sesungguhnya tembok Yakjuj dan Makjuj telahpun roboh sebesar ini (sambil menunjukkan isyarat lubang dengan ibu jari dan telunjuknya.) Baginda ditanya adakah kita akan binasa walaupun terdapat orang soleh? Jawab Baginda: Ya, jika kerosakan sudah berleluasa.”

[HR Bukhari & Muslim]

Walau bagaimanapun, Allah turut menerangkan bahawa sesuatu bala’ kemurkaan tidak akan menimpa di dalam komuniti yang melakukan kemungkaran, sekiranya terdapat pihak yang berusaha mencegahnya. Firman Allah S.W.T:

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ

“Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman yang berlaku, selagi ada penduduknya yang musleh (membaiki keadaan).”

[Hud:117]

Selagi terdapat orang yang berusaha menghalang dan mencegah kemungkaran daripada terus berlangsung, maka itu menjadi asbab bala’ Allah tidak turun. Jika tidak kerana mereka, sudah lama bala’ murka membinasakan mereka. Pelaku maksiat ini sebenarnya terhutang budi dengan pencegah maksiat.

Itulah kelebihan musleh berbanding soleh. Orang soleh hanya membawa kebaikan untuk diri mereka. Sebaliknya orang musleh membawa kebaikan untuk seluruh umat.

Orang musleh bukan sekadar mengajak buat baik, tetapi mereka turut mencegah kemungkaran. Ajak buat baik perkara senang, tetapi halang orang buat jahat itu susah. Tetapi tugas nahi mungkar adalah lebih penting dari amar makruf. Mengikut satu kaedah fiqh:

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

“Menolak keburukan adalah lebih utama berbanding mendatangkan kebaikan”

Kesimpulannya, dengan berbagai kemungkaran yang berlaku di segenap ruang dunia hari ini, umat manusia sebenarnya terhutang budi kepada golongan musleh. Kemungkaran ekonomi yang berpaksi sistem ribawi, kemungkaran politik yang menafikan kekuasaan tuhan, kemungkaran undang-undang yang membelakangkan nas, kemungkaran urustadbir yang penuh dengan korupsi, kemungkaran sosial sehingga menghalalkan LGBT, seks bebas, dadah, arak, ikon lucah, hiburan tanpa batas dan sebagainya. Sebutkan mana tempat yang tidak dilanda kemungkaran ini.

Berterima kasihlah dan hargailah pencegah kemungkaran di sekeliling anda, walau apa jua kekurangan yang mereka miliki. Mereka juga manusia yang sering terkhilaf, namun janganlah dengan sedikit kesalahan mereka kita terus membentuk persepsi negatif sehingga menjatuhkan mereka.

Kepada pejuang Islam yang menggalas peranan nahi mungkar dalam berbagai ruang, teruskan kerja mulia kalian. Bersabarlah dengan dugaan. Usah pedulikan celaan mereka yang mencela, usah risau mereka yang cuba menjatuhkan kalian, kerana kalian adalah golongan Allah (hizbullah).

Asbab bala’ Allah tertahan adalah kerana sikap mencegah kemungkaran yang dilakukan secara realiti, bukan sekadar retorik atas nama Menteri penjaga agama semata-mata, bukan juga bergantung kepada nama kerajaan Islam atau bukan, ataupun jemaah, parti itu dan ini. Bukan kerana teori, tetapi kerana praktik.

Teruskan menentang mencegah kemungkaran walau apapun ancaman yang diterima. Kerana tanpa kalian, dunia ini mungkin sudah lama kiamat.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 30/5/2019

- Advertisement -