Jangan pula orang kata kerajaan 2 kali 5

- Advertisement -

SEJAK Oktober 1990 Kelantan tersisih daripada arus politik perdana. Ketika prasarana di negeri lain pesat membangun di sana sini, namun Kelantan tidak banyak berubah.

- Advertisement -

Mengapa situasi seperti itu berlaku. Apakah pentadbiran negeri di bawah terajui ulama tidak cekap atau tiada pengalaman.

Namun jentera pentadbiran yang memacu kerajaan masih orang yang sama. Pegawai sama di era kerajaan Barisan Nasional (BN) bekerja di bawah pentadbiran PAS pula.

Rupa-rupanya ada unsur politik yang cuba menghalang kerajaan pusat membantu kerajaan Kelantan. Kata orang kampung ada elemen dendam politik. Dalilnya berlambak. Antaranya projek bekalan air Kelantan Utara (BAKU) yang pernah dilulus tiba-tiba ditarik balik selepas BN gagal mempertahankan Kelantan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1990.

Begitu juga projek pembangunan lain di Kelantan. Biar pun semuanya untuk kemudahan rakyat, namun ia tidak menjadi perhitungan kerajaan pusat ketika itu.

Cerita serupa sebenarnya berlaku pada era pertama pentadbiran PAS di Kelantan bermula 1959. Cadangan membina kampus tetap Universiti Malaya di Bachok tidak menjadi kenyataan.

Sedangkan pengambilan tanah sudah lama dilulus kerajaan PAS. Akhirnya di Tanggok muncul kampus Universiti Malaysia Kelantan hanya beberapa tahun kebelakangan ini.

Lebuh raya yang sepatutnya dibina pada 1986 hanya tahun lepas boleh dilalui sejauh 7 km dari Pasir Hor ke Kadok. Dan dijangka sejauh 7 km lagi akan dibuka menghubungkan Kadok-Ketereh.

Kemelut dan diskriminasi yang dibiarkan berlaku itu pernah didedah perdana menteri. Seperti katanya pemimpin Umno di Kelantan mahu menghukum rakyat yang mengundi PAS.

Sejarah seperti berulang

Itu sejarah yang berlaku sebelum 9 Mei 2018. Selepas 61 tahun akhirnya tumbang juga Umno dan BN. Rekod penguasaan politik selama lebih enam dekad gagal dipertahankan BN.

Sebelum ini kita dikejutkan dengan kejatuhan Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah Jepun selama 54 tahun.

Jepun muncul sebagai kuasa besar ekonomi dunia di bawah LDP. Namun akhirnya kecundang di tangan parti pembangkang, Parti Demokratik Jepun (DPJ).

Hari ini juga Tanah Malaya berketuakan kerajaan baharu seperti DPJ yang tiada pengalaman mentadbir. Namun Pakatan Harapan (PH) masih bernasib baik kerana ada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Hanya mereka yang kaya pengalaman ketika bergelar pemimpin kanan di era BN. Sedikit pengalaman juga dimiliki Lim Guan Eng dan Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali ketika mentadbir kerajaan negeri.

Namun Dr Mahathir yang disepakati sebagai tonggak utama PH bakal berundur tidak tidak lama lagi. Selain faktor sebagai perdana menteri sementara, faktor umur dan krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia juga menjadi hambatan.

Ditambah pula keghairahan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menunggu detik dan saat menduduki kerusi perdana menteri yang diimpikan sejak 1998.

Biar pun limpahan pengalaman dimiliki Dr Mahathir namun sketsa lama yang pernah berlaku di Kelantan nampaknya seperti mahu berulang.

Bayangan mehnah politik yang berpaksi dendam politik juga semakin berputik. Teori serupa digunakan Umno sejak Oktober 1990.

Kata mereka sekiranya Kelantan dibiarkan dilimpahi projek pembangunan sampai bila pun PAS sukar digugatkan.

Babak lama itu seperti mahu diulangi. Maka tidak hairanlah ada pemimpin PH muncul mahu menjadi orang tengah bagi menyelesaikan isu tuntutan royalti petroleum.

Kenyataan seperti itu seolah-olah mengenepikan semangat federalisme. Kata Pak Mat tidak perlu orang tengah kerana undang-undang digubal penjajah sudah jelas. Ada hak negeri, hak persekutuan dan hak bersama.

Ramai bimbang diskriminasi yang dihala terhadap Kelantan sejak Oktober 1990 juga berlaku ketika Dr Mahathir bergelar perdana menteri.

Drama yang melingkari isu royalti seakan-akan mengiyakan situasi itu. Ditambah pula laluan ECRL dipendekkan di Kelantan.

Stesen Pengkalan Kubor, Wakaf Bharu dan Jelawat ditiadakan dalam peta baharu ECRL. Sebaliknya Perdana menteri berbangga dapat menjimatkan kos pembinaan ECRL sebanyak 21.5 bilion, sedangkan jarak dikurangkan sebanyak 40 km.

Sedangkan potensi stesen ECRL di Pengkalan Kubor boleh merancak segmen ekonomi dan pelancongan dari Thailand.

Ramai bimbang setahun kerajaan PH, hanya mengulangi perangai lama kerajaan BN. Jangan pula ada anak muda nyanyi lagu 2 kali 5. – HARAKAHDAILY 29/5/2019

- Advertisement -