Fahami tabiat perjuangan dan medan latihannya

- Advertisement -
TELUK INTAN: Hakikat perlu disedari setiap ahli PAS adalah perjuangan yang benar akan sentiasa diuji Allah dengan kepayahan dan kekalahan untuk memperkukuh keyakinan terhadap hala tuju perjuangan.
 
Bagi ahli yang berada dalam jamaah ini berlandaskan akidah perjuangan jelas, maka dia akan sabar terhadap segala perkara menimpa kerana hal itu juga merupakan kasih sayang Allah pada hamba-Nya.
 
Kalimat tersebut antara suntikan kata-kata yang dimotivasikan Ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Fairul Hafiiz Othman di Dewan KOMPASTI, Kampung Padang Tembak, di sini semalam.
 
“Tetapi bagi individu yang menyertai perjuangan gerakan Islam ini kerana sebab-sebab tertentu seperti perasaan marah dan kecewa terhadap parti pemerintah, kebiasaannya mereka mudah putus asa.
 
“(Apatah lagi) apabila impiannya tidak tercapai lalu meninggalkan gerakan ini dan menyertai atau menubuhkan parti lain,” ujarnya menekankan beberapa syarat utama untuk layak menerima kemenangan.
 
Iaitu bentang beliau, sifat sabar, istiqamah dan ikhlas dalam perjuangan menegakkan agama Allah, namun perlu difahami sabar bukan bererti berdiam diri membiar institusi agama digugat.
 
Tetapi jelas beliau, sabar yang sebenar adalah bangun berjuang mempertahankan kedaulatan Islam walaupun menghadapi ujian dan tentangan daripada pihak musuh.
 
Kerana itu katanya, Ramadan adalah wadah terbaik untuk memupuk sifat sabar dan mencari kekuatan dalam memikul amanah menggerakkan jentera perjuangan ini.
 
Majlis iftar terakhir dianjurkan pihak PAS Teluk Intan itu turut menyaksikan kehadiran ramai kepimpinan Umno Bahagian Teluk Intan termasuk sayap Wanita dan Puterinya. – HARAKAHDAILY 29/5/2019
IMG 20190529 WA0014
- Advertisement -