Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (24)

- Advertisement -

وَدَخَلَ جَنَّتَهُ وَهُوَ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ قَالَ مَا أَظُنُّ أَن تَبِيدَ هَـٰذِهِ أَبَدًا 

- Advertisement -

“Dan dia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: “Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya.”

وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِن رُّدِدتُّ إِلَىٰ رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِّنْهَا مُنقَلَبًا

“Dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.”

Penekanan utama ayat:

●     Zalimi diri sendiri

Zalim lawan kepada adil. Ia bermaksud meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Menzalimi diri sendiri bermaksud tidak memberikan hak yang sebenar kepada diri sendiri. Hak diri adalah beriman kepada Allah S.W.T.

●      Tidak percaya kiamat

Kepercayaan terhadap kehancuran dunia adalah salah satu rukun iman yang wajib ada pada setiap hamba Allah. Menolak kepercayaan ini bererti menolak kekuasaan Allah, lalu secara automatiknya membatalkan iman di jiwa walaupun masih percaya kepada keesaan Allah.

Gejala tidak percayakan kiamat adalah sindrom biasa manusia yang hidupnya terlalu bergelumang dengan dunia. Mereka tidak merasa ada kuasa ghaib yang menguruskan dunia, sebaliknya menganggap semua yang berlaku ini atas kebijaksanaan manusia mengurus.

●      Over confident

Islam mengajar umatnya menjadi sederhana dan pertengahan. Tidak terlampau lemah dan juga tidak terlampau mengada-ngada. Namun mereka yang bergelumang dengan dunia akan menyebabkan mereka hilang pertimbangan hingga merasakan mereka adalah manusia yang mulia dan disayangi Allah. Mereka tidak akan rasa salah sedikitpun kerana bagi mereka, kalau tuhan murka kenapa hartaku masih banyak?

Ibrah akhir zaman:

Kekayaan yang dikecapi oleh salah seorang dari dua sahabat itu bukan sahaja menyebabkan beliau sombong terhadap sahabatnya, malah takabburnya telah membawa kepada kekufuran. Sama sebagaimana apa yang berlaku terhadap Iblis yang sombong terhadap Nabi Adam A.S. Bezanya, Iblis sombong kerana hasad, sementara lelaki tersebut sombong kerana harta. Firman Allah S.W.T:

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

“Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.”

[al-Baqarah: 24]

Lelaki tersebut masih lagi mentauhidkan Allah. Walau bagaimanapun, beliau telah melanggar salah satu daripada rukun iman iaitu beriman kepada hari akhirat. Kekufuran ini berpunca daripada keduniaan yang serba mewah, banyak dan canggih sehingga merasakan beliau boleh melakukan apa sahaja dengan harta yang dimiliki.

Inilah yang berlaku sepanjang peradaban manusia. Lihat bagaimana Firaun yang cuba melawan kuasa tuhan dengan membunuh bayi Bani Israel supaya mimpi kebinasaannya tidak menjadi kenyataan. Lihat juga bagaimana Namrud cuba membina bilik kebal, kononnya tidak dapat ditembusi oleh sesiapa hatta malaikat maut. Namun semuanya binasa dengan jalan yang penuh hina.

Akhir zaman ini, kesombongan tersebut masih diwarisi. Walaupun mereka kini tidak lagi berjaya menyangkal teori kehancuran bumi, namun mereka masih percaya mereka mampu selamat daripada bencana tersebut. Barat kini mencipta berbagai alat kebal kononnya kalis kiamat sekiranya berlindung di dalamnya. Ada juga yang sedang berusaha menyesuaikan habitat manusia di planet-planet lain seperti Marikh ataupun ke bulan sebagai langkah persediaan.

Asas kepada pemikiran sebegini adalah ideologi materialisme. Mereka percaya semua perkara boleh diselesaikan dengan unsur materialistik dan fizik, tanpa perlu mempedulikan unsur metafizik seperti ketuhanan dan kepercayaan agama. Materialisme telah melahirkan ideologi sekularisme dan atheisme, lalu disebarkan melalui agenda kolonialisasi tidak lama dahulu. Warisan penjajah ini masih pekat mendekam pada pemikiran bekas negara jajahan termasuk umat Islam sendiri.

Barat hari ini dijadikan kiblat kekaguman dunia kerana kemajuan material yang mereka miliki. Walaupun mereka merupakan masyarakat tidak bertuhan (godless society), perkara ini tidak langsung diendahkan. Hatta orang-orang Islam sendiri mengambil Barat sebagai contoh dan sebahagian agamawan menyarankan umat Islam mencontohi mereka, sedangkan mereka tidak sedar itu semua adalah ujian tuhan sementara waktu buat mereka sahaja. Akan tiba masanya tamadun mereka akan jatuh kerana kekufurannya.

Jika keterpesongan ini tidak diubati, ia sebenarnya akan membawa manusia lebih mudah menjadi pengikut Dajjal. Ini kerana kebergantungan kepada unsur keduniaan akan menyebabkan Dajjal yang tiba di saat teknologi tidak lagi boleh digunakan diangkat sebagai hero kerana diberikan kepadanya keluasan dunia. Kebergantungan kepada Dajjal itulah juga akan membawa kepada kekufuran kepada tuhan (rujuk bab 7 dan 8).

Oleh sebab inilah, Allah matikan dahulu orang beriman sebelum berlaku kiamat. Ini kerana peristiwa kiamat hanya diadakan untuk membuktikan kepada mereka yang tidak percaya. Sabda Rasulullah S.A.W:

يَخْرُجُ الدجالُ في أُمَّتِي ، فيمكثُ أربعينَ ، فيبعثُ اللهُ تعالى عيسى ابنَ مريمَ كأنه عُرْوَةُ بنُ مسعودٍ الثقفيُّ ، فيَطْلُبُه ، فيُهْلِكُه ، ثم يمكثُ الناسُ سبعَ سِنِينَ ، ليس بين اثنينِ عداوةٌ ، ثم يُرْسِلُ اللهُ رِيحًا باردةً من قِبَلِ الشامِ ، فلا يَبْقَى على وجهِ الأرضِ أحدٌ في قلبِه مِثْقالُ ذَرَّةٍ من إيمانِ إلا قَبَضَتْهُ ، حتى لو أنَّ أحدَكم دخل في كَبِدِ جَبَلٍ لَدَخَلَتْ عليه ، حتى تَقْبِضَه ، فيَبْقَى شِرَارُ الناسِ ، في خِفَّةِ الطيرِ ، وأحلامِ السِّباعِ ، لا يَعْرِفُونَ معروفًا ، ولا يُنْكِرونَ مُنْكَرًا،

“Dajjal keluar di kalangan umatku. Dia tinggal selama 40 hari. Lalu diutuskan Isa bin Maryam dalam rupa Urwah bin Mas`ud at-Thaqafi. Nabi Isa memburu Dajjal lalu menghapuskannya. Kemudian manusia hidup selama 7 tahun. Dalam tempoh tersebut, tidak berlaku sebarang permusuhan sesama manusia. Kemudian Allah menghantar angin yang lembut dari arah Syam. Maka semua yang memiliki iman walau sebesar zarah akan diambil nyawanya, sehingga mereka yang berada di dalam perut bukit pun akan dimasuki oleh angin tersebut dan mengambil nyawa mereka. Maka yang tinggal hanyalah sejahat-jahat manusia, melampias nafsu ibarat burung berterbangan, ganas dan kejam ibarat binatang liar, tidak mengenal kebaikan, dan tidak mencegah keburukan.”

[HR Muslim]

Justeru itu, jalan untuk selamat adalah dengan membajai hati dengan tiga sifat berikut:

1.    Zuhud; tidak meletakkan dunia di hati.

2.    Iffah; tidak mengharap sesuatu dari tangan manusia.

3.    Qanaah; merasa cukup dengan apa yang ada.

4.    Tawakkal; meletakkan kebergantungan hanya kepada Allah S.W.T.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 29/5/2019

- Advertisement -