PAS temani sahur penjawat awam Bukit Mertajam

BUKIT MERTAJAM: Pemuda PAS Kawasan Bukit Mertajam telah menghidupkan lagi Ramadan dengan menganjurkan program Singgah Sahur yang dijalankan sekitar bandar ini, semalam.
 
Program untuk menyemarakkan lagi amal kebajikan ini telah dijayakan dengan mobilisasi Ahli Jawatankuasa Lajnah Dakwah, anggota Jabatan Amal dan ahli Alternative Riding Club.
 
Inisiatif mengedar juadah sahur dan menyantuni masyarakat terutama para penjawat awam ini telah dipimpin sendiri Ketua Pemuda PAS Bukit Mertajam, Mohd Anuar Abdul Rahman.
 
Antara premis dikunjungi adalah Balai Polis Machang Bubuk, Balai Bomba Bukit Mertajam, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kecemasan Hospital Bukit Mertajam dan beberapa lagi.
 
Menerusi program ini, rombongan dapat menyantuni, sekali gus juga sebagai penghargaan kepada mereka yang komited melaksanakan tanggungjawab dengan pengorbanan tugas dilakukan. – HARAKAHDAILY 27/5/2019
IMG 20190527 WA0036