PAS Tawau beri sumbangan sempena Tadau Kaamatan

- Advertisement -
TAWAU: Muslimat PAS Kawasan Tawau telah mengagihkan sumbangan barangan dapur kepada masyarakat bukan Islam di Kampung Tass Andrassy dan Quarters Pertanian, di sini kelmarin.
 
Sumbangan dilaksanakan dengan kerjasama PAS Cawangan Ranggu ini sebagai tanda keprihatinan PAS Tawau sempena Pesta Kaamatan yang bakal disambut etnik Kadazan tidak lama lagi.
 
Program tersebut telah disertai sama oleh Yang DiPertua PAS Tawau, Mohamad Husain dan Pengerusi Unit Pengupayaan OKU (UPAYA) PAS Tawau, Ustaz Rosli Hassan.
 
Juga bersama adalah Pengerusi Lajnah Dakwah dan NGO Muslimat Tawau, Mardiah Osman dan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Media Baru Muslimat PAS Tawau, Aznah Tandek.
 
Menurut Mohamad, agihan tersebut menjadi simbol saling menghormati antara penduduk pelbagai kaum yang mengadakan perayaan budaya masyarakat setempat di negeri ini.
 
Malah, beliau menyifatkan paling utama ianya akan merapatkan hubungan antara agama dan kaum, selain menjadi kesempatan memperkenalkan PAS kepada penduduk bukan Islam.
 
“Setidak-tidaknya apabila mereka mengenali PAS lebih dekat, secara tidak langsung akan menghakis perasaan takut dan salah faham terhadap PAS selama ini,” ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
 
Sempena kunjungan ziarah oleh rombongan PAS Tawau itu, Ustaz Rosli mewakili UPAYA turut menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU). – HARAKAHDAILY 27/5/2019
- Advertisement -