PAS Perak akur titah tidak salah guna masjid

- Advertisement -
IPOH: PAS Negeri Perak akur dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya masjid dan surau, termasuk segala kemudahannya tidak disalah guna untuk kepentingan politik kepartian.
 
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, larangan supaya masjid dan surau tidak disalah guna itu termasuklah pemasangan sepanduk yang mempamerkan lambang parti sama ada di dalam bangunan atau di pekarangannya.
 
Menurutnya, kepatuhan terhadap titah Baginda Sultan itu hendaklah diikuti oleh semua parti, tidak ke atas parti-parti bukan kerajaan sahaja, termasuk PAS.
 
“PAS Perak akur dengan titah Baginda Sultan dan PAS berharap kepatuhan itu hendaklah diikuti oleh semua parti, termasuk parti-parti yang memerintah.
 
“Memang selama ini kita akur dengan titah Baginda Sultan dan juga pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Agama Ialam Perak (JAIPk) mengenai perkara itu,” katanya kepada Harakahdaily semalam.
 
Sultan Perak bertitah demikian ke atas semua parti politik baru-baru ini, berikutan laporan dibuat oleh Ketua Pemuda PAN Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim terhadap parti bukan kerajaan.
 
Laporan khususnya ke atas PAS dan Umno atas kes tersebut dengan Hasnul mendakwa tidak menghormati institusi agama yang diletakkan di bawah kuasa Sultan dan JAIPk.
 
Razman berkata, dalam hal-hal berkaitan masjid dan surau sebenarnya tidak dapat melarikan diri daripada kenyataan bahawa orang yang terlibat dengan institusi berkenaan juga sebahagian besarnya adalah orang politik.
 
Malah menurutnya lagi, orang politik juga adalah sebahagian anggota masyarakat, manakala masjid dan surau sebagai tempat menimba ilmu dan merekalah tenaga-tenaga penting yang mengimarahkannya.
 
“Oleh sebab itu jangan kita lihat mereka atas nama politik, tapi lihatlah atas faktor individu, sama ada mereka imam, bilal, siak, ustaz yang mengajar atau yang nenyampaikan tazkirah dan sebagainya.
 
“Jika dia seorang ahli PAS, mungkin dia naib kadi, guru takmir, imam, ustaz yang mengajar. Jadi tentulah mereka tidak boleh lari daripada tanggungjawab sekiranya dijemput dalam program-program di masjid atau surau,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/5/2019
- Advertisement -