Majlis khatam sempurnakan tadarus Ramadan

PERMATANG PAUH: Muslimat PAS Cawangan Taman Guar Perahu melengkapkan usaha mengimarahkan Ramadan dengan menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran Muslimat, semalam.
 
Program kemuncak tadarus sejak awal Ramadan ini disertai gabungan Muslimat PAS Cawangan-cawangan di bawah UPU Kuala Mengkuang yang telah dilangsungkan di Markas PAS Taman Guar Perahu.
 
Majlis turut diisi dengan tazkirah oleh Ketua Muslimat PAS Cawangan Guar Jering, Ustazah Amalina Mohd Yusoff yang mengajak muhasabah mengukur pencapaian diri pada Ramadan.
 
Ujarnya, Ramadan seharusnya menjadi madrasah membentuk peribadi Muslim yang berkualiti takwanya, yakni menjadikan diri ke arah lebih baik pada bulan ini.
 
Selain itu, alunan zikir Asmaul Husna dan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W turut menyerikan majlis sebelum para peserta memulakan bacaan secara tartil mengkhatam 30 juzuk al-Quran.
 
Bacaan para peserta pada majlis ini telah dipimpin langsung oleh Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Taman Guar Perahu, Ustazah Shukriah Yakoob.
 
Sementara itu, Pengarah Program, Halimah Haron berharap majlis ini menjadi sebahagian tarbiyah ke arah membaiki ilmu al-Quran dan menyelaraskan tugas sebagai penggerak Islam untuk mahir dan mengamalkannya. – HARAKAHDAILY 28/5/2019