Ziarah kesihatan Musmedik cakna pesakit

- Advertisement -
PERMATANG PAUH: Muslimat Medical Team (Musmedik) Muslimat PAS Kawasan Permatang Pauh telah mengadakan program ziarah kesihatan dalam Dun Permatang Pasir, semalam.
 
Pelancaran program telah disempurnakan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff di pekarangan Masjid Kubang Semang, di sini.
 
Beliau melahirkan harapan supaya program kebajikan kemasyarakatan sedemikian digiatkan kelazimannya kerana ia memberi impak positif dalam menjalankan dakwah.
 
Program dengan kerjasama Jabatan Pilihan Raya Muslimat dan PAS Permatang Pauh itu mensasarkan peningkatan kualiti kesihatan dan kehidupan masyarakat berbilang kaum.
 
Selain khidmat pemeriksaan kesihatan, aspek diberi penekanan juga adalah kesedaran dan nasihat perubatan kepada pesakit-pesakit kurang berkemampuan dan kurang cakna kesihatan.
 
Para pesakit juga disantuni dengan sumbangan kita perubatan dan barangan keperluan asas, selain sentuhan rohani para asatizah yang mendoakan kesembuhan dan keberkatan hidup.
 
Ziarah diadakan ke rumah pesakit kronik seperti darah tinggi, strok, lumpuh, kencing manis dan pesakit dalam rawatan dialisis di UPU Cross Street, Tanah Liat, Samagagah dan Pekan Permatang Pauh.
 
Pimpinan PAS Permatang Pauh yang turut mengiringi inisiatif tersebut adalah Yang DiPertua, Omar Hassan dan Ketua Muslimat, Ustazah Nor Hapiza Saad.
 
Menurut Ustazah Hapiza, terdapat pesakit-pesakit yang tidak mendapat rawatan susulan di klinik atau hospital kerana terkesan oleh kos sara hidup yang tinggi dan terbeban dengan kos perubatan dan makanan asas.
 
Pengerusi Lajnah Musmedik, Yan Humaira Shamsudin turut menghargai kerjasama diberi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) pada program tersebut. – HARAKAHDAILY 26/5/2019
IMG 20190526 WA0042
 
IMG 20190526 WA0037
- Advertisement -