Gesa k’jaan bantu pesakit buah pinggang daif

- Advertisement -
KUALA  LUMPUR: Kerajaan perlu menyediakan lebih banyak pusat dialisis termasuk di luar bandar supaya boleh memberi kemudahan kepada pesakit buah pinggang terutama yang tinggal jauh di pedalaman.
 
Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, keadaan demikian menyebabkan pesakit perlu berulang alik ke pusat dialisis dengan mengambil masa lama yang sudah tentu menjejaskan kesihatan mereka.
 
Beliau juga mahu kerajaan mengkategori pesakit buah pinggang sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) kerana mereka hanya bergantung pada mesin dialisis selagi tidak dapat mengganti buah pinggang baru.
 
“Pesakit (biasanya) menjalani hemodialisis tiga kali seminggu, selama empat jam setiap kali dialisis. Jika tidak jalani dialisis boleh akibatkan kehilangan nyawa apabila tubuh menjadi lemah.
 
“Hampir semua pesakit buah pinggang memilih hemodialisis kerana ia dilakukan di hospital atau pusat dialisis yang dibantu jururawat terlatih,” ujarnya ketika menyampaikan sumbangan PAS Kawasan Miri, semalam.
 
Pada program tersebut 50 pesakit buah pinggang antaranya dari Niah dan Sibuti yang kebanyakannya daif dan kurang kemampuan menerima sumbangan di Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah, Miri.
 
Sempena majlis sama, Jofri turut menyampaikan sumbangan PAS Miri berupa 400 bungkusan barangan keperluan harian kepada golongan kurang bernasib baik di sekitar Miri dan Sibuti.
 
Beliau juga menggesa kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dapat menawarkan bantuan bulanan kepada pesakit kurang berkemampuan, juga dari Baitulmal kepada pesakit Muslim.
 
“Kebanyakan pesakit dapat bantuan dari orang ramai, tetapi mereka juga perlu perhatian dari kerajaan terutama berkait kos perubatan yang harus ditanggung sendiri.
 
“Jika tanpa bantuan orang ramai, mungkin ramai pesakit buah pinggang yang miskin tidak dapat meneruskan hemodialisis dan ini membahayakan kesihatan mereka.
 
“Dialisis sebenarnya tidak sembuhkan pesakit, tetapi mengganti fungsi buah pinggang. Dalam sesetengah kes, kegagalan buah pinggang mungkin masalah sementara dan dialisis boleh dihentikan apabila buah pinggang sembuh.
 
“Ia boleh disembuhkan dengan menjalani pemindahan buah pinggang dengan segera. Jadi dialisis diperlukan sehingga penderma buah pinggang sesuai tersedia,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 26/5/2019
- Advertisement -