Peranan bantu perjuangan, bukan susahkan

- Advertisement -
LUMUT: Setiap ahli PAS mempunyai peranan tersendiri yang menyumbang serta saling membantu mengukuhkan jemaah, sebagaimana banyak perumpamaan boleh diiktibarkan mengenainya.
 
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man membawakan pelbagai analogi mengenainya ketika berucap merasmikan Konvensyen PAS Perak di Marina Island Pangkor Resort, di sini pagi tadi. 
 
Beliau menyifatkan ahli jemaah ini seperti batu-bata dalam tempat pembakaran yang kemudian terhasil sebagai batu-bata berwarna hitam, cantik dan pecah setelah melalui proses tersebut.
 
“Semua batu-batu ini berguna. Jangan buang. Yang hitam, dia kuat. Cuma oleh kerana dia hitam, jangan letak di depan. Di mana tempat yang sesuai dengan dia? Pelapik tiang. Di situ tempat dia. Sebab dia kuat. 
 
“(Batu-bata) yang cantik, letak di depan. (Batu-bata) yang patah jangan dibuang. Sebab bila susun batu-bata, kita perlukan batu yang patah di hujung. Semua penting,” ujarnya. 
 
Bahkan semua itu terang beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, masih memerlukam elemen lain seperti air, besi, batu, pasir dan simen hingga dapat membentuk dan mendirikan bangunan. 
 
Pun begitu tegasnya, semua bahan tersebut hanya tertegak kuat apabila ianya bersatu, bermaksud setiap bahan biarpun dengan kekuatannya sendiri tidak membawa hasil, apatah lagi untuk menjadi bangunan.
 
Dato’ Tuan Ibrahim turut menjentik kesedaran seluruh perwakilan konvensyen tersebut dengan membawa juga perumpamaan ahli jemaah ini seperti segenggam lidi yang tidak sama keadaannya. 
 
“Yang paling ‘untung’, (lidi) yang pendek dan duduk di dalam. Sudahlah dia pendek, setiap kali sapu sampah, dia tak kena. Lalu kita buang lidi (pendek) tersebut. Sebab kita fikir, tak guna dia ada. 
 
“Setelah kita buang, baru kita tahu lidi tadi bukan untuk mengapu sampah tapi untuk memperkukuhkan ikatan. Bila kita buang lidi tersebut, longgar habis ikatan lidi lain,” ujarnya mengundang ceria majlis ini.
 
Pun demikian peringat beliau, peranan yang dimainkan itu mestilah jangan sampai menyusahkan jemaah dan pimpinan dengan perkara tidak sewajarnya atas perbuatan dilakukan.
 
“Kata orang tua-tua waktu mengangkat rumah, yang paling untung ialah orang pendek. Tangan tak sampai, bubur kacang tiga pinggan dia sapu. Tapi orang tua sebut apa? Kalau tangan tak sampai nak bantu, tak mengapa. Tapi jangan bergayut. 
 
“Maksudnya apa? Kalau kamu tak boleh tolong jemaah, jangan menyusahkan jemaah. Kalau tak boleh bantu pimpinan, jangan menyusahkan pimpinan. Kita (sepatutnya) diam. Kita buat kerja yang kita mampu nak tolong,” demikian ulas beliau. – HARAKAHDAILY 25/5/2019
- Advertisement -