Jentera kuat sekalipun tidak bererti tanpa wala’

- Advertisement -

LUMUT: Kepatuhan kepada arahan adalah sangat penting melebihi daripada kekuatan yang ada pada jentera itu sendiri, kerana jentera terkuat sekalipun akan lumpuh bila mana tidak ada wala’.

- Advertisement -

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man ketika berucap merasmikan Konvensyen PAS Perak di Marina Island Pangkor Resort, di sini pagi tadi.

Beliau mengambil sejarah Perang Zat al-Salasil yang menyaksikan kepatuhan tentera terhadap Amru bin al-As selaku panglima perang sekalipun berlaku perbezaan pandangan.

“Dalam waktu peperangan, tidak ada perbahasan. Hanya yang ada, satu arahan. Nak bincang, kemudian. Pandangan boleh beri. Kalau orang terima, alhamdulillah. Kalau orang tak terima, alhamdulillah.

“Pandangan kadang-kadang nampak baik pada awal. Belum tentu baik pada akhir. Kadang-kadang bangkangan nampak tak elok pada awal. Belum tentu tak elok pada akhir.

“Oleh kerana itu, yang kita (PAS) putus ialah supaya Negeri, Kawasan dan Cawangan-cawangan mengadakan program bersama (PAS Umno). Membanyakkan program untuk kita bersama.

“Dalam muafakat inilah, kita harapkan konvensyen Perak pada kali ini akan menyusun pelbagai pendekatan strategik yang ampuh,” ujarnya memetik ayat 216 surah al-Baqarah.

Beliau turut menaruh keyakinan betapa negeri Perak boleh muncul sebagai model penyatuan gerak kerja bersama antara PAS dan Umno di masa akan datang.

Konvensyen Kali Ke-21 ini turut dihadiri oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, serta Pengerusi Umno Perak, Dato Sha’arani Mohamad. – HARAKAHDAILY 25/5/2019

- Advertisement -