Sedia persiapan angkatan ulamak – TG Shuid

- Advertisement -

TAMBUN: Ulamak PAS Kawasan Tambun telah mengadakan ziarah dan iftar bersama Murabbi Negeri Perak, Tuan Guru Shuid Din serta menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dan fakir miskin.

- Advertisement -

Program menjelang naik taraf Urusan Ulamak PAS Kawasan kepada Dewan tidak lama lagi itu dan juga sempena Nuzul Quran disertai 40 asatizah yang diadakan di Maahad Darussalam, Kampung Baru, di sini kelmarin.

Dalam pengisian disampaikan Tuan Guru, beliau memetik ucapan Maulana Abu Hasan Ali An-Nadwi betapa umat Nabi Muhammad adalah umat terpilih oleh Allah untuk menjadi pengikut dan menjalankan kerja-kerja Nabi.

Beliau juga berpesan agar para ulamak menjadi ‘waliyan mursyida’ kerana hanya mereka yang layak membetulkan segala kesesatan, selain melaksanakan kerja-kerja Islam menuntut dua asas dipenuhi.

Pertama jelas beliau, ‘Sobrun Ayyub’ iaitu kesabaran Nabi Ayub yang padanya banyak cabaran dan ujian, manakala kedua, ‘Umrul Nuh’ yakni umur Nabi Nuh di mana padanya panjang masa perjuangan.

Para asatizah juga serunya, mestilah memahami bahawa tugas dakwah dan tarbiyah Islam memerlukan daya tahan tinggi dan kekal yakin kepada janji Allah terhadap kemenangan Islam kerana sejarah berulang.

Beliau merujuk hal tersebut kepada hadis bahawa umat Islam akan melalui lima zaman iaitu bermula dengan an-Nubuwah dan berakhir nanti dengan kembalinya pemerintahan Khalifah an-Nubuwah.

Ketua Urusan Ulamak PAS Tambun, Ustaz Mohd Rusdi Saad pula dalam ucapannya mengingatkan bahawa umat tidak akan mampu menjadi umat terbaik jika tidak mengambil contoh umat terdahulu.

Beliau melahirkan harapan agar para asatizah bersama mengorak langkah proaktif menjayakan peranan lebih besar secara tanzim lebih tersusun bersama Dewan Ulamak PAS Kawasan yang diwujudkan nanti. – HARAKAHDAILY 24/5/2019

- Advertisement -