Sambutan Hari Guru PAS Balik Pulau meriah

BALIK PULAU: Lajnah Pendidikan PAS Kawasan Balik Pulau telah mengadakan Sambutan Hari Guru bertema “Guru Murabbi, Pemangkin Ummah” di sini Sekolah Rendah Islam Al-Ansar, di sini kelmarin.
 
Meriahnya, sambutan bukan sahaja meraikan guru-guru PASTI, SRIA dan Maahad Tahfiz Al-Ansar tetapi juga mengundang semua guru luar yang menjadi penggerak dakwah PAS di kawasan ini.
 
Mereka diraikan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff bersama saf pimpinan PAS Balik Pulau termasuk Ketua Urusan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.
 
Ustaz Fauzi selaku juga Yang DiPertua PAS Balik Pulau dalam ucapannya menyeru para guru disebalik peranan mendidik, mestilah aktif dengan usrah dan tarbiyah untuk pemahaman dan penghayatan dalam mendidik.
 
“Disebalik tugaa hakiki guru mendidik anak-anak dalam kelas, guru juga berperanan mendidik masyarakat. Tugasan ini tidak akan berjaya sekiranya para guru tidak menghayati tema yang diketengahkan. 
 
“Kerana kejayaan yang sebenar ialah kemenangan dunia hingga ke akhirat. Malah, pendidikan adalah pelaburan sangat bernilai dan hasilnya akan dituai apabila akhirat kelak,” ujar beliau.
 
Pada majlis itu, Anugerah Khas Guru Harapan diberikan kepada Suhaila Mustafa Bakri dari PASTI Darul Ulum Teluk Kumbar dan Anugerah Tokoh Guru kepada Nor Khamisah Mad Arif dari PASTI Al-Huda Sungai Batu.
 
Sempena majlis itu juga Lajnah Pendidikan menobatkan Anugerah Kilauan Emas kepada Ustaz Fauzi yang juga merupakan pengasas dan Pengerusi Lembaga Pengarah SRIA dan Maahad Tahfiz Al-Ansar.
 
Juga anugerah sama diberikan kepada Mohd Taufik yang merupakan pesara guru dan kini sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah SRIA di mana majlis disusuli tahlil dan iftar jamaie. – HARAKAHDAILY 24/5/2019
IMG 20190524 WA0053