Menentang kuota bumiputera memerangi Perlembagaan

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Sembilan (DPPN9) mengucapkan tahniah dan semoga diberi kekuatan oleh Allah dan dukungan dari semua peringkat kepada Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik di atas ketegasannya mempertahankan hak kuota matrikulasi bagi bumiputera.

- Advertisement -

Bagi kami, ianya adalah dasar-dasar perlembagaan negara yang diterjemahkan melalui kependidikan.

DPPN9 sedia mempertahankan Menteri Pendidikan di dalam isu-isu kepentingan rakyat seumpama ini. Rakyat Malaysia dituntut tanpa mengira fahaman politik, bangkit atas sebarang hal berkaitan dasar-dasar perlembagaan negara, hak warga, menegak dan menuntut kebenaran.

Pertikaian berkaitan isu kuota matrikulasi terhadap bumi putra yang ditunjangi DAP harus ditentang dengan kefahaman yang jelas. Jelas Sekali penentangan berkaitan seumpama kuota matrikulasi ini lebih bersifat cubaan menghilangkan secara total hak-hak bumiputera sedangkan golongan bumiputera adalah golongan terendah dan ketinggalan dalam aspek peluang kependidikan, pekerjaan, ekonomi dan lainnya.

DPPN9 ingin mempersoalkan adakah kumpulan penentang ini ingin melihat golongan bumiputera lebih keterbelakang dan akhirnya menumpang di negara sendiri?

Kami ingin memaklumkan bahawa kontrak sosial yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia nyata jelas menjaga kedudukan keistimewaan Melayu, Islam dan bumiputera. Adakah mungkin kumpulan penentang terhadap kuota matrikulasi bumiputera sangat menginginkan golongan bumiputera dihilangkan hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan? Sekiranya ia, maka malang bagi rakyat Malaysia kerana memilih mereka mewakili rakyat sedangkan mereka bersifat perkauman, menjaga hak kumpulan tertentu, dan punyai niat buruk yang terpendam.

Rakyat melihat dengan jelas, kiranya isu hak bumiputera seperti ini ingin terus dijadikan modal untuk matlamat pergerakan mereka, maka pada PRU15 akan datang, kumpulan ini perlu diturunkan oleh rakyat.

DPPN9 menyeru agar Perdana Menteri memecat Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching kerana dilihat tidak bersama-sama Menteri Pendidikan dalam menegakkan tunjang negara dan seolah-olah berlepas diri daripada isu ini.

Hentikan politik dendam, politik kepentingan kumpulan-kumpulan tertentu. Pemimpin perlu melihat perit jerih, rintihan rakyat bawahan, bukannya menarik segala bantuan yang diperlukan rakyat bawahan.

MUMTAZ BASHA HARON
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan
23 Mei 2019/18 Ramadan 1440 – HARAKAHDAILY 23/5/2019

- Advertisement -