Memahami di sebalik peristiwa Badar Kubra

- Advertisement -

FIRMAN Allah:

- Advertisement -

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ (39) الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ (40)

“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi dan sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). (39); Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya (Makkah) dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan Kami (yang Mencipta dan Mengurus kami) ialah Allah”. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadat gereja-gereja (kaum Kristian), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa”. (40) (Surah Al-Hajj: 39-40)

Demikianlah keizinan Allah kepada Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya supaya berperang menentang kezaliman dan pencerobohan yang dipaksa terhadap umat Islam. Ini menegaskan bahawa perdamaian adalah keutamaan Islam, manakala peperangan adalah tindakan terakhir apabila Islam itu diceroboh dan dihalang dengan peperangan, walaupun Islam berkonsepkan tiada paksaan dalam dakwahnya dan menggalakkan berhujah dengan kebijaksanaan.

Soalannya: Mengapa dilakukan pencerobohan dan peperangan itu? Padahal mereka mengetahui peribadi Rasulullah S.A.W. dan akhlaknya yang mulia, apabila disaksikan sendiri oleh para pemimpin bukan Islam di Makkah, sehingga mereka memberi gelaran kepadanya Al-Amin (orang paling amanah), tidak pernah berbohong, tidak pernah meminum arak, tidak pernah berzina dan mengkhianati sesiapa pun, walaupun pada masa itu tiada undang-undang yang menghalangnya. Sehingga rumahnya menjadi tempat simpanan barang yang mahu ditinggal dan dijaga, ketika pada zaman itu tiada lagi bank simpanan dan pelaburan.

Kebijaksanaan Baginda Nabi S.A.W. diiktiraf, apabila diminta menyelesaikan perbalahan, diikut serta dalam permuafakatan (Tahaluf Al-Fudhul) untuk membela orang yang dizalimi ketika usianya masih terlalu muda. Sedia berhujah dengan sesiapa sahaja, tetapi hujahnya tidak mampu dikalahkan dan peribadinya tidak mampu diaibkan dengan tuduhan yang benar. Sehingga terpaksa mencipta fitnah demi fitnah sehingga ternyata terpaksa silih berganti fitnahnya dicipta.

Adapun golongan ahli Kitab Yahudi dan Kristian pula telah mengetahui berita melalui kitab suci masing-masing akan kedatangan Rasul akhir zaman, ialah seorang tokoh yang terpuji mengikut bahasa masing-masing, sinonim dengan namanya Muhammad (orang yang terpuji).

Akhirnya Baginda S.A.W. dipaksa keluar daripada tanah airnya berhijrah ke Yathrib atau Taibah nama asal negeri yang diizinkan oleh penduduknya yang menerima Islam, bagi menegakkan negara masyarakat madani dan menamakan negara baru dengan panggilan Madinah yang melibatkan masyarakat majmuk pelbagai kaum dan agama apabila mereka menerima konsep Islam memimpin, dan dilaksanakan hukum syariatnya yang adil terhadap semua tanpa paksaan menganut agama.

Aspek integriti, keutuhan diri dengan ilmu dan akhlak yang mulia berdasarkan iman dan berkonsepkan taqwa telah berjaya menegakkan keadilan untuk semua dengan ikatan Sahifah Madinah (piagam) yang bercirikan kontrak sosial yang bersejarah berwawasan dunia dan Akhirat. Ia dilaksanakan dengan perintah wajib yang berkonsepkan keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat. Bahawa adanya perhitungan dosa dan pahala selepas mati dan dibicarakan selepas bangkit hidup semula setelah mati. Hukumannya sama ada ke syurga atau neraka. Bukan sahaja ikatan undang-undang dunia dan mahkamah di alam dunia sahaja.

Pelaksanaan tersebut menarik manusia untuk menjadi penganut Islam semakin ramai atau lebih redha bernaung di bawah pemerintahan Islam, tanpa menganut agama Islam dalam keadaan bebas beramal dengan agama masing-masing.

Dalam hubungan antara negara dan masyarakat lain, konsep perdamaian hendaklah didahulukan, walaupun dalam keadaan telah berperang. Inilah perintah Al-Quran:

وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (61)

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakkalah kepada Allah. Sesungguhnya ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Surah Al-Anfaal: 61)

Semua pendekatan yang dibawa tersebut sangat bercanggah dengan realiti masyarakat pada waktu itu. Di mana undang-undang jakun di rimba masih dikuat kuasakan dalam masyakat Arab Jahiliah buta huruf, buta agama dan buta akhlak. Golongan beragama yang mempunyai kitab suci seperti Yahudi dan Kristian tidak lagi beramal dengan kitab, termasuk dari kalangan paderi dan sami melakukan rasuah dan perangai lain, hanya tinggal segelintir yang menunggu kedatangan Rasul yang dijanjikan. Maka agama yang tidak mempunyai kitab lebih lagi dahsyatnya.

Adapun negara besar yang bertamadun dari segi pembangunan kebendaannya ditegakkan di atas kezaliman menindas rakyat, kerana pemisahan pemerintahan daripada agama dan akhlak, menjadikan akal yang lemah dan nafsu yang zalim lebih berkuasa.

Maka negara Islam yang muncul di Madinah itu dianggap mencabar kekuasaan para pemimpin agama, negara dan masyarakat yang ada di sekelilingnya, walaupun berada di tanah suci Makkah yang dirasmikan oleh Nabi Ibrahim A.S. yang disanjung dan dimuliakan oleh semua penganut agama Kitab dan syirik. Allah menegaskan:

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ (67)

“Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik). (Surah “Aali Imraan: 67)

Oleh itu, Islam dijadikan musuh utama, bukan kerana salahnya, tetapi kerana kebenarannya itu mencabar kebatilan dan keadilannya meruntuhkan kezaliman. Maka Islam dikepung oleh kesesatan dan kezaliman yang menjadi anutan keseluruhan masyakat di sekelilingnya.

Kemunculan Islam seperti itu dianggap membahayakan realiti masyarakat yang tidak boleh menerima kebaikan dan keluhuran akhlak yang sebenarnya, kerana pertimbangannya akal dan budi yang terlingkup, sehingga kebatilan itu dianggap kebenaran dan kezaliman itu dikira kebenaran yang mesti dipertahankan. Maka majoriti rakyat daripada kalangan yang lemah menganggap Islam adalah penyelamat bagi mereka, sehingga yang berkuasa menjadikan Islam pencabar yang boleh menjatuhkan kedudukan mereka walaupun salah dan sesat.

Tahun kedua Hijrah di bulan Ramadhan tercetusnya Perang Badar yang menguji umat Islam. Rasulullah S.A.W. menegakkan tema perjuangannya melalui munajat kepada Allah:

اللهم إن تهلك هذه العصابة لا تعبد

“Ya Allah Tuhanku! Jika sekiranya binasalah pasukan yang kecil ini, nescaya Engkau tidak lagi diibadatkan (diperhambakan diri)”. (Riwayat Muslim)

Mengapa tidak dinyatakan: “Nescaya tanah air akan dijajah, anak isteri menjadi tawanan, bangsaku akan diperhambakan”. Tonggaknya adalah menegakkan Islam itu menjadi penyelamat kepada tanah air, keluarga, bangsa dan negara. Tegasnya Islam penyelamat kepada semua sepanjang zaman yang kekal sehingga Hari Kiamat. Inilah mesej munajatnya kepada Allah yang diucapkan dengan khusyuk.

Keimanan kepada kebenaran, bahawa Islam itu sungguh-sungguh daripada Allah, menjadikan ahli Badar yang berjumlah hanya 313 anggota yang tidak lengkap bersenjata bersemangat gagah perkasa menghadapi 1,000 bala tentera yang lengkap bersenjata pada zaman itu.

Keperkasaan itu dinyatakan kepada Rasulullah S.A.W. apabila ditanya sikap mereka di saat yang mencabar paling berbahaya itu. Mereka dari kalangan Muhajirin yang datang daripada Makkah diuji perasaan kecintaan kepada Islam yang ditegakkan atau tunduk kepada keluarga dan pemimpin yang menjadi musuh yang datang mahu memadamkan cahaya Islam yang datang daripada Makkah. Tiba-tiba ditegaskan: “Wahai Rasulullah! Bahawa kami tidak berkata kepada Rasulullah, seperti orang-orang Yahudi Bani Israel kepada Nabi Musa apabila diajak berjihad: “Wahai Musa pergilah engkau bersama Tuhanmu, kami mahu berada di sini sahaja”.

Mereka daripada kalangan Ansar, penduduk Madinah yang beriman pula diuji dengan baiah mereka menerima Rasulullah S.A.W. bersama Islam yang datang daripada Makkah. Apa guna mereka berperang menyusahkan diri mempertahankan kumpulan pendatang itu? Tiba-tiba ditegaskan: “Wahai Rasulullah! Kami telah berbaiah bersamamu bagi menegakkan Islam dan mempertahankannya. Perintahkan ke mana sahaja mahu berjuang menghadapi musuh, walaupun ke tempat yang jauh perjalanannya kami bersedia”.

Maka bersatulah dua kumpulan Muhajirin dan Ansar bersama Islam dan mempertahankannya.

Seterusnya taktik dan strategi perang paling bijak yang diatur oleh Rasulullah S.A.W. supaya mereka berbaris rapat dan dibahagikan mengikut pasukannya, bagi menghadapi musuh yang bertaburan.

Arahan Rasulullah S.A.W. supaya jangan memulakan serangan. Selepas diserang musuh, maka dilancarkan serangan kilat yang menjadikan musuh-musuh itu pecah bertaburan dan berporak-peranda, di samping pertolongan Allah kepada mereka yang ikhlas dan bijak berikhtiar serta berusaha dengan penuh pengorbanan menjadikan bala tentera Islam mendapat kemenangan cemerlang yang diabadikan Allah dengan firman-Nya:

وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (123)

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam Peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu)”. (Surah ‘Aali Imraan: 123)

Rasulullah S.A.W. meriwayatkan dalam Hadis Qudsi bahawa Allah berfirman: “Wahai ahli Badar! Buatlah apa sahaja yang kamu mahu, kerana Aku mengampunkan semua dosa kamu”. (Muttafaqun ‘Alaih)

Daripada generasi Badar ini lahirnya umat Islam generasi awal yang beriman dan budiman membawa cahaya Islam ke pelosok dunia sehingga menguasai sebahagian besar tiga benua Asia, Afrika dan Selatan Eropah. Walaupun mereka menghadapi kepungan musuh Islam dari seluruh penjuru dunia pada masa itu.

Kekuatan iman, peribadi Islam yang tinggi dan perpaduan umat yang gagal dipecahkan oleh musuh itu, akhirnya melangsungkan perjalanan dakwah yang tidak mampu dihalang oleh musuh yang datang bertubi-tubi.

Berakhir beberapa tahun selepasnya, mereka berjaya membebaskan Kota Makkah dan Kaabah daripada jahiliah, serta menyahut seruan Allah menyelamatkan saudara mereka yang ditindas dengan kejam kerana Islamnya yang dilakukan pada Bulan Ramadan juga:

وَمَا لَكُمْ لَا تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَٰذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا (75) الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا (76)

“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh). (75); Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah”. (76) (Surah An-Nisa’: 75-76)

Mereka yang menjadi ahli Badar ialah model umat Islam generasi awal yang dapat memenuhi ciri-ciri kumpulan Islam yang dapat melaksanakan Islam sempurna. Selepas wafatnya Rasulullah S.A.W., mereka berjaya memecahkan kepungan kumpulan murtad yang didukung oleh dua kuasa besar Parsi dan Rom Timur, bahkan kedua-dua kuasa besar itu rebah dan ranap oleh kemaraan cahaya Islam.

Umat Islam terkini ditimpa nasib mereka berada di bawah para pemimpin yang sangat lemah jati diri Islam dan ditenggelamkan oleh kepentingan dunia yang memperhambakannya. Mereka tidak lagi mengurus dunia, tetapi dunia yang mengurus mereka, sehingga tidak mampu membela diri sendiri dan saudara mereka yang ditindas. Bahkan sangat hina kerana bersedia menjadi khadam kepada musuh dengan menggadaikan maruah diri dan harta sendiri untuk berperang saudara bagi kepentingan musuh, bukannya melawan musuh yang patut dihadapi.

Namun, cahaya Islam tidak berjaya dipadamkan, kerana Islam itu daripada Allah dan umatnya gagal dihapuskan. Segala yang berlaku hanya pusingan pasang surut yang membersihkan pantai. Semua sampah sarap yang bersujud menyembah dunia itu akan hancur lebur dibawa arus zaman yang sentiasa berubah. Hanya bersama Islam sahaja selamat, laksana ahli Badar yang sedikit jumlahnya tidak mampu dihapuskan oleh musuh yang lebih besar walaupun berganda jumlah dan kelengkapannya.

Akhirnya, maka sesiapa yang mempertahankan Islam dan umatnya pasti diselamatkan dengan pertolongan Allah. Maka sesiapa yang kini berlindung di belakang telaga minyak dan gas akan hancur terbakar bersamanya, dan sesiapa yang berwalikan kuasa pihak bermusuh dan lupakan kuasa Allah terhadap Islam akan bersama musuh ke Neraka Jahanam.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 17 Ramadan 1440 / 22 Mei 2019 – HARAKAHDAILY 22/5/2019

- Advertisement -