Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (17)

- Advertisement -

سَيَقُولُونَ ثَلَٰثَةٞ رَّابِعُهُمۡ كَلۡبُهُمۡ وَيَقُولُونَ خَمۡسَةٞ سَادِسُهُمۡ كَلۡبُهُمۡ رَجۡمَۢا بِٱلۡغَيۡبِۖ وَيَقُولُونَ سَبۡعَةٞ وَثَامِنُهُمۡ كَلۡبُهُمۡۚ قُل رَّبِّيٓ أَعۡلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعۡلَمُهُمۡ إِلَّا قَلِيلٞۗ فَلَا تُمَارِ فِيهِمۡ إِلَّا مِرَآءٗ ظَٰهِرٗا وَلَا تَسۡتَفۡتِ فِيهِم مِّنۡهُمۡ أَحَدٗا

- Advertisement -

“(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka “; dan setengahnya pula berkata:”Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka” – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).”

Penekanan utama ayat:

●     Anjing

Ayat ini menyenaraikan seekor anjing tergolong sebagai anggota Ashabul Kahfi. Walaupun ia seekor binatang yang mungkin dianggap jijik oleh manusia dan najis mughallazah di sisi Islam, tetapi ia tidak bermakna ia hina di sisi tuhan. Kerana anjing tersebut berkhidmat untuk pejuang Islam, maka ia dimuliakan. Jika ada manusia yang menentang perjuangan Islam, maka mereka lebih hina dari anjing di sisi Islam!

●     Soal bilangan

Walaupun Allah Maha Tahu bilangan sebenar pemuda Ashabul Kahfi, tetapi sengaja dibentangkan mengenai pandangan-pandangan masyarakat tentang bilangan mereka. Fokus utama supaya umat Islam mengerti, bukan bilangan, data atau fakta terperinci yang dititik beratkan. Sebaliknya pengajaran yang boleh diambil.

Di sini pentingnya umat ini memahami Fiqh Aulawiyyat. Kefahaman mengenai susunan keutamaan dalam ajaran Islam.

●     Debat

Larangan supaya jangan berdebat adalah salah satu di antara prinsip utama agama ini adalah menjaga prioriti dan mengelakkan perpecahan. Tujuan perdebatan adalah bagi mencari kebenaran. Kebenaran itu juga mestilah memiliki kepentingan yang signifikan. Kalau sekadar mahu menentukan tarikh berapakah sebenarnya Nabi meninggal atau berapakah sebenarnya bilangan rakaat terawih tanpa mempunyai justifikasi yang signifikan terhadap kehidupan manusia, lebih baik tinggalkan sahaja.

Bukan semua kebenaran perlu ditegakkan, dan bukan semua benda benar perlu diceritakan.

Ibrah akhir zaman:

Orientasi ayat ini berkisar mengenai perbincangan masyarakat tentang bilangan pemuda Ashabul Kahfi. Akhirnya tuhan meminta supaya perkara ini diserahkan kepada Allah S.W.T dan tidak perlu dipanjangkan. Hikmahnya supaya umat Islam mengerti, bukan bilangan yang perlu dititikberatkan tetapi pengajaran yang ingin disampaikan di sebalik kisah tersebut.

Fenomena umat Islam akhir zaman, terlalu sibuk dengan perkara-perkara kecil yang tidak penting tetapi mengabaikan perkara-perkara besar. Fiqh Aulawiyyat tidak menjadi pedoman umat ini. Lebih parah, membesarkan perkara kecil sehingga membawa kepada perbalahan dan permusuhan sesama Islam.

Dalam tidak sedar, sebenarnya isu khilafiyat dan isu furu’iyyah menjadi peluru musuh Islam yang sengaja dicipta bagi melalaikan umat daripada bersatu menghadapi musuh Islam. Umat ini sengaja dipecahkan dengan sektarian mazhab, kabilah dan kaum supaya kekuatan mereka mengecil lalu mudah untuk diratah. Ia dipanggil strategi pecah dan perintah.

Strategi inilah yang digunakan bagi menjatuhkan Empayar Islam Uthmaniyah. Ditiup api semangat kebangsaan Arab menentang Turki yang dicop sebagai penjajah. Di Turki pula, dipecahkan aliran-aliran tarekat yang pelbagai. Di kalangan bangsa Arab, dilagakan isu Ahli Sunnah vs Wahhabi atau Salafi. Juga kerana tuduhan Uthmaniah sebagai koruptor.

Arab Spring yang terbaru melanda umat Islam terutama di Asia Barat menggunakan modus operandi sama. Sentimen Sunni, Shiah, Wahhabi, Aswaja, Arab, Kurdi, Balochis, Pashtun, Bani Ahmar, kabilah Houthi, Tripolitan, Berber, dan bermacam lagi pecahan yang masing-masing mengaku sebagai Islam, tetapi berbantaian sesama sendiri. Itu belum lagi dipecahkan mengikut pasukan tentera, parti politik dan jemaah Islam.

Agenda utama Arab Spring adalah pemetaan baharu Asia Barat. Negara yang ada akan dipecahkan lagi kepada negara-negara yang lebih kecil mengikut sektarian. Antara negara yang menjadi perancangan adalah Kurdistan, Balochistan, Shiistan, Sunnistan, Alawistan, Wahhabistan, Tripolitania, Fezzan, Cyrenaica dan seumpamanya. Daripada 10 buah negara boleh pecah kepada 20 buah negara baharu!

Perpecahan adalah punca umat Islam diratah. Firman Allah S.W.T:

وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

[al-Anfal: 46]

Justeru umat ini perlu bersatu menentang perpecahan. Jalan untuk umat ini bersatu adalah:

1.     Fokus kepada isu bersama: pembebasan Masjidil Aqsa.

2.     Fokus kepada musuh bersama: Yahudi.

3.     Selesaikan khilaf sesama Islam dengan wacana ilmu bukan dengan senjata.

4.     Ulamak perlu menjadi agen penyatu bukan punca perbalahan.

5.     Umarak perlu kembali kepada penerapan ajaran Islam dalam sistem pemerintahan.

22 Mei 2019
17 Ramadhan 1440

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 22/5/2019

 FB IMG 1558535083726

- Advertisement -