Mana pergi pemimpin Melayu dalam kerajaan?

- Advertisement -
SUNYI sepi suara pemimpin Melayu Islam dalam Kerajaan PH dalam berhadapan isu Kuota Matrikulasi. Mereka seolah takut memberi komentar, mungkin alergik dengan perkataan ‘Melayu dan Bumiputera’, bimbang dituduh rasis dan fanatik perkauman.
 
Benak fikir pemimpin Melayu Islam dalam Kerajaan hanyut dengan tema Rahmatan Lil ‘Alamin yang senarionya cenderung mempertahankan bukan Melayu-Islam bagi menunjukkan sifat rahmah mereka. Tidak pelik, sehingga kini mereka masih berdiam diri dalam isu Kuota Matrikulasi.
 
Sepatutnya Pemimpin Melayu dalam Kerajaan PH bertindak tegas mempertahankan keputusan Kabinet dan merasionalisasikan pandangan awam secara ilmiah. Bukan berdiam diri dan memilih isu-isu yang memberi keuntungan peribadi sahaja. Sekalipun kaum ‘itu’ memberi banyak undi dalam PRU-14, tetapkanlah prinsip anda.
 
Keadilan dalam Islam bererti memberi hak kepada yang berhak, bukannya diukur dengan nilai kesamarataan semata mata. Inilah takrifan yang telah diperkenalkan oleh Islam yang menjadi asas manusia untuk berhukum.
 
PAS melalui Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) ingin menegaskan bahawa sokongan PAS bukan atas dasar batang tubuh ataupun politik kepartian, namun kita menyokong atas dasar dan prinsip yang menguntungkan rakyat. 
 
Dewan Pemuda PAS Perak mendesak agar semua tokoh berpengaruh, NGO, Pertubuhan kemasyarakatan dan pemimpin-pemimpin parti politik  khususnya  Pemimpin Melayu dalam Kerajaan PH bersikap berani dan tegas menyatakan pendirian mempertahankan Menteri Pendidikan.
 
AHMAD FAISAL MOHD PUAIT
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Perak
 
16 Ramadhan 1440H | 21 Mei 2019
- Advertisement -