Pelbagai aktiviti Jelajah Ramadan PAS Pandan

- Advertisement -

PANDAN: PAS Kawasan Pandan telah mengadakan Jelajah Ramadan dengan mengadakan majlis sumbangan asnaf dan khatam al-Quran, edaran tamar dan bubur lambuk, iftar perdana dan singgah sahur.

- Advertisement -

Program tersebut telah disempurnakan oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah dengan turut menyampaikan taujihat pada majlis yang dilangsungkan di Pusat Tarbiyah Pandan, di sini semalam.

Menerusi program ini, telah dilaksanakan majlis khatam al-Quran disertai hampir 200 kanak-kanak, sementara Pemuda PAS dan Ameerah Pandan pula menjayakan edaran tamar di Stesen LRT Cempaka.

Majlis dimeriahkan dengan sumbangan barangan keperluan asas kepada 50 keluarga asnaf dalam usaha meringankan beban mereka meraikan Syawal, sebelum semua hadirin diraikan dalam iftar perdana.

Dato’ Amar dalam taujihatnya menyentuh Islam sebagai Manhajul Hayat yang didatangkan bersamanya al-Quran dan as-Sunnah untuk manusia memahami sistem hidupnya di atas dunia.

Beliau menganalogikan hal itu dengan jam di mana perlu dimasukkan bateri untuk berfungsi dan mestilah masih memiliki kuasa, selain dipasang mengikut kedudukan positif dan negatif yang betul.

“Jadi dalam Islam, orang Islam bukan sahaja diajar untuk hidup antara dia dan Tuhan sahaja, tetapi melibatkan sama hubungan dengan semua makhluk ciptaan Allah,” jelas beliau kepada tetamu yang hadir.

Jelajah tersebut berterusan selepas solat Tarawih apabila delegasi PAS berkunjung ke Hospital Pantai Ampang, Balai Bomba dan Balai Polis serta beberapa premis lain menyampaikan juadah sahur.

Program ini diteruskan sempena cuti ganti dengan gotong-royong memasak bubur lambuk yang akan diedarkan kepada masyarakat oleh PAS Pandan bersama tenaga Pemuda dan Ameerah pada petang nanti. – HARAKAHDAILY 20/5/2019

IMG 20190520 WA0043

 

IMG 20190520 WA0042

- Advertisement -