Kedaulatan Melayu letak Islam governan tertinggi

- Advertisement -
KEDAULATAN merupakan penguasa agung yang padanya terletak sumber perundangan tertinggi dalam sistem politik sebuah kerajaaan; menetapkan ciri kedaulatan dan prinsip perlembagaan untuk mendasari penggubalan undang-undang dan prinsip tadbir urus yang baik. 
 
Dalam struktur Alam Melayu selepas kedatangan syariat Nabi Muhammad S.A.W, kedaulatan itu terletak pada Raja Melayu sebagai pemegang amanah kuasa agung berposisi sebagai wakil Allah S.W.T di atas muka bumi yang meneruskan ajaran Islam sebagai ad-Din.
 
Prinsip di atas meletakkan ajaran Islam sebagai governan tertinggi untuk menilai  keabsahan adat Melayu yang merupakan amalan tradisi warisan kerajaan dan masyarakat purba di Tanah Melayu.
 
Bersandarkan pada hakikat bahawa Alam Melayu ialah tanah dan laut bernama Melayu, diperintah oleh Raja-Raja Melayu, sekalian yang diperintah mereka adalah rakyat Raja Melayu maka itulah asas kepada ketuanan Melayu, begitu juga frasa kedaulatan Melayu, iaitu kedaulatan raja dan kerajaan Melayu. Kedaulatan Melayu adalah frasa yang menunjukkan jati diri rantau ini, bukan istilah rasis bersifat diskriminasi yang menindas mana-mana pihak.
 
Kedaulatan Melayu memberi satu konotasi bahawa tanah air ini tidak boleh tidak, mesti mendaulatkan institusi raja dan Islam sebagai governan tertinggi di samping kelestarian elemen-elemen watan yang berakar umbi sejak ratusan tahun. 
 
Dari sudut sejarah perundangan, prinsip kuasa eksekutif Persekutuan dan Negeri-negeri Melayu adalah bersumberkan ajaran Islam. Hal ini kerana ajaran agama Islam diturun pada awalnya kepada Nabi Adam A.S mendahului kelahiran adat masyarakat. Perutusan Nabi Muhammad S.A.W membawa risalah terakhir yang mengharmonikan adat masyarakat dengan syariat akhir zaman. 
 
Oleh kerana Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946 menjelaskan kedaulatan Negeri-negeri Melayu hendaklah kekal seperti sebelumnya pada Raja Melayu di setiap Negeri Melayu mengikut adat Melayu, itu mengabsahkan posisi Islam dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan Negeri-negeri. 
 
Dari sudut prinsip, syariat menjernihkan adat Melayu sekali gus melestarikan adat sejauh mana adat itu patuh syariah. Prinsip yang sama menggariskan prerogatif Raja Melayu dan itulah pada hakikatnya ‘Kedaulatan Melayu’. 
 
DATO’ DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Penasihat Gabungan MI’RAJ – HARAKAHDAILY 19/5/2019
- Advertisement -