Bubur lambuk penyatuan ummah di Selayang

- Advertisement -

SELAYANG: Dewan Pemuda PAS dan Pergerakan Pemuda Umno Selayang hari ini bergotong-royong mengacau bubur lambuk sempena program Penyatuan Ummah: Gotong-Royong dan Edar Bubur Lambuk PAS dan Umno.

- Advertisement -

Sebanyak dua periuk besar bubur lambuk dimasak secara bergotong-royong untuk diagihkan kepada masyarakat di Dewan Undangan Negeri (Dun) Taman Templer.

Menurut pengarah program, Kamarul Jamaluddin, program itu diadakan bagi menyahut seruan pimpinan atasan untuk menganjurkan program bersama PAS dan Umno bagi menguatkan penyatuan di peringkat bawahan.

“Bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, kita ambil inisiatif untuk menganjurkan program gotong-royong dan edar bubuk lambuk.

“Dengan program seumpama ini dapat merapatkan lagi ukhuwah dan penyatuan di peringkat bawahan,” katanya ketika ditemui di program tersebut yang diadakan di Surau Hidayatul Mustaqim, Selayang Baru.

Sementara itu, program tersebut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua PAS Kawasan Selayang, Zaidy Abdul Talib sebagai perasmi program.

Dalam ucapan perasmian, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer itu memberi nasihat kepada semua jentera supaya sentiasa bersedia menghadapi tentangan daripada pihak musuh yang kini berusaha keras untuk menggagalkan penyatuan ummah secara halus dan terangan.

Beliau mengharapkan penyatuan ini akan menjadi ‘tsunami politik’ untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

Turut sama dalam program itu Timbalan Ketua Umno Bahagian Selayang, Dato’ Hasnal Rezua Merican yang menyampaikan sumbangan ‘food bank’ kepada 13 orang asnaf yang terpilih.

Hadir sama pada program itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan, Ustaz Firdaus Madzlan; Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian, Shahzainuriman Nuar Paraskhan dan Pengerusi Surau, Azizan Mohd Ali.

Kira-kira 1,000 bekas bubur lambuk akan diagihkan secara rumah ke rumah, diletakkan di surau dan masjid berdekatan serta di tepi jalan. – HARAKAHDAILY 19/5/2019

bubur1

- Advertisement -