Rundingan selesai kes Medan Selera Semarak

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Kes perobohan Medan Selera Semarak akhirnya berjaya diselesaikan secara baik apabila pihak pemaju, Paragon City Development Sdn Bhd setuju membayar RM16,000 bagi setiap lot niaga, semalam.
 
Pertemuan rundingan hampir sejam melibatkan 27 peniaga dengan Pengarah Urusan Paragon City, Dato’ Sri Godwin Tan Pei Poh bersama wakil peguam telah diadakan di pejabat pemaju itu di Jalan Gurney, di sini.
 
Menurut Naib Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Ubaid Akla, persetujuan itu setelah beberapa sesi perundingan yang mengambil kira kos perpindahan, saguhati dan sebagainya kepada peniaga.
 
Malah maklum beliau, pemaju juga membenarkan peniaga berniaga di medan itu sehingga 31 Disember ini tanpa sebarang sewa dikenakan dengan mengambil kira masa untuk peniaga mendapat tapak baru.
 
Menurutnya, tapak baru telah dijanjikan pihak Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato’ Norhisham Ahmad Dahlan iaitu di Taman Kejiranan Air Panas, tidak jauh dari lokasi asal.
 
Malah difahamkan, pemaju turut menawarkan sewaan di kompleks beli belah yang bakal dibangunkan dalam masa 5 tahun akan datang bersama potongan sewaan diskaun sebanyak 50 peratus.
 
“Rundingan menang-menang ini diusahakan pihak JUHAM Pemuda PAS Wilayah Persekutuan melalui firma Tetuan Nazrin, Izzat and Co bagi memberi keadilan kepada peniaga.
 
“Alhamdulillah akhirnya membuahkan hasil tanpa perlu meneruskan kes dibicarakan di mahkamah,” ujarnya bersama peguam, Izzat Ghazali. – HARAKAHDAILY 18/5/2019
- Advertisement -