Penjawat awam T’ganu bakal terima bonus raya

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kesemua penjawat awam Kerajaan Negeri Terengganu bakal menerima bonus raya masing-masing sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

- Advertisement -

Namun, kata Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, jumlah bayaran bonus itu akan ditentukan kemudian.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambil sedikit masa menilai beberapa perkara agar tidak membebankan kewangan negeri.

“Memang kita ada membuat keputusan untuk memberi bonus raya kepada penjawat awam di negeri Terengganu. Cuma jumlah itu kita akan umumkan nanti, kita tidak umum hari ini.

“Keputusan dasarnya kita akan beri, sebelum Hari Raya Aidilfitri, insya-Allah. Berapa jumlah itu akan ditentukan kemudian, kita ambil masa sedikit dan akan maklum kepada media, jangan bimbang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, beberapa perkara sedang dipertimbangkan bagi menentukan kadar yang sesuai dengan jumlah penjawat awam yang ramai di negeri ini.

“Ada beberapa perkara yang kita sedang pertimbangkan. Kita kena lihat kedudukkan kewangan, jumlah yang sesuai dan dengan mengambil kira jumlah penjawat awam yang besar di negeri Terengganu.

“Kita empat kali ganda lebih besar dari penjawat awam Pulau Pinang. Sebab itu, kita kena lihat dahulu beberapa perkara supaya tidak membebankan kewangan kerajaan negeri,” tegasnya.

Menurut Menteri Besar itu, keseluruhan penjawat awam di Terengganu ini lebih kurang 12,700 orang seluruh negeri. – HARAKAHDAILY 15/5/2019

- Advertisement -