Hadaf negara, teori kontrak sosial menurut Al-Mawardi

- Advertisement -

SEKETIKA selepas kewafatan al-Farabi (m. 950M), telah lahir seorang pemikir politik Islam yang baru, al-Mawardi pada 975M / 364H. Berbeza dengan al-Farabi yang terpaksa berhadapan dengan permulaan kemerosotan Daulah Abbasiyah, al-Mawardi ketika Bani Buwaih sudah menguasai negara, sejak era Khalifah ath-Thai (974-991M), serta munculnya dua khalifah lain iaitu al-Muiz li Diinillah (365-386H) dari Daulah Fatimiyah di Mesir dan Hisyam bin al-Hakam (366-399) dari Daulah Umayyah di Andalusia. Ketika ini juga telah muncul kerajaan-kerajaan baru seperti Samaniyah, Hamdaniyah, Zaidiyah, Uqailiyah dan lain-lain di seluruh wilayah Abbasiyah.

- Advertisement -

fadli ghaniDalam suasana politik yang agak berkecamuk inilah, al-Mawardi muncul sebagai tokoh yang penting di dalam Daulah Abbasiyah dan para sultan Bani Buwaih, khususnya pada zaman Khalifah al-Qadir Billah (991-1031M). Pada zaman Khalifah al-Qaim bi Amrillah (1031-1075M), al-Mawardi pernah berkrisis dengan Sultan Jalal ad-Daulah kerana permintaan raja Iraq itu pada 422H kepada khalifah untuk digelar Malik al-Muluk. Pengalaman-pengalaman ini telah membentuk sikapnya ketika menggagaskan pemikiran politik beliau dalam karya-karyanya. Namun begitu, beliau tetap mempunyai kedudukan yang tinggi dalam kerajaan selaku Aqdal Qudah (Qadhi Agung).

Ketika John Locke (1632-1704M) dan Rousseau (1712-1778M) mengemukakan teori kontrak sosial sebagai transaksi antara rakyat dan pemerintah dalam pembentukan negara, al-Mawardi (m. 1059M) sejak 600 tahun sebelumnya sudah memperkatakan tentang konsep kontrak sosial ini dalam karya-karyanya. Kemudian daripada keperluan manusia kepada masyarakat yang membentuk negara melalui kontrak sosial, al-Mawardi mengembangkan teori tujuan atau ahdaf negara, di mana negara yang dibangunkan adalah bertujuan untuk melaksanakan tugas-tugas kenabian dalam menjaga agama dan mentadbir urusan dengan agama. Ketika teori kontrak sosial diceduk oleh Locke dan Rousseau, mereka tidak mengambil teori tujuan negara yang disebutkan oleh al-Mawardi, dan dikembangkan kemudiannya oleh at-Taftazani (m. 1390M) dan Ibnu Khaldun (m. 1406M).

Al-Mawardi dan curahan pemikirannya

Al-Mawardi adalah seorang pemikir Islam yang terkenal dan merupakan tokoh yang sangat berpengaruh dalam Daulah Abbasiyah. Beliau dilahirkan pada 364H / 975M dengan nama Abu Hassan Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi al-Bashri. Beliau yang dilahirkan di Bashrah ini telah mendapat sentuhan ilmu dengan Hassan bin Aliuhammad al-Jabali dalam bidang hadis, belajar fiqh dengan Qadhi Abul Qasim Wahid dan akhirnya berguru dengan Sheikh Abu Hamid Ahmad al-Isfirayni dalam bidang fiqh. Al-Mawardi pernah menjadi qadhi di beberapa kota, sebelum menjadi ketua qadhi (aqdal qadhi). Selain mengajar di Baghdad, al-Mawardi turut menjadi duta safir (keliling) bagi beberapa khalifah dan sultan, sehingga menjadikan beliau seorang penasihat yang sangat berpengaruh dan tegas dalam istana khalifah dan Sultan Bani Buwaih.

Sebagai seorang pengikut Mazhab Syafie, al-Mawardi menghasilkan banyak karya mengikut fiqh as-Syafieyah dalam pelbagai bidang terutama tentang kehakiman dan politik kenegaraan. Antara karya beliau yang terkenal ialah at-Tafsir, al-Hawi al-Kabir, al-Iqna’, Adab al-Qadhi, A’lam an-Nubuwah, an-Hahw, Fi Amsal wa al-Hukm, Adab ad-Dunya wa ad-Din dan lain-lain. Dalam bidang politik kenegaraan, ada empat karya yang beliau hasilkan, iaitu Ahkam as-Sultaniyah, Nasihah al-Muluk, Tashil an-Nazhr wa Ta’jil az-Zhafr dan Qawanin al-Wazarah wa Siyasah al-Muluk. Daripada karya-karya beliau yang memperkatakan tentang dasar-dasar pemerintahan, undang-undang, struktur kerajaan, kekhalifahan, percukaian dan sebagainya ini, telah meletakkan al-Mawardi sebagai seorang pemikir politik Islam terbesar dalam sejarah. Kitabnya, Ahkam as-Sulthaniyah bahkan telah menjadi undang-undang umum Daulah Abbasiyah.

Makhluk sosial berkontrak

Al-Mawardi pada asasnya mendukung pemikiran Ibnu Abi Rabi’ dan al-Farabi tentang kedudukan manusia sebagai makhluk sosial yang saling memerlukan. Beliau menegaskan bahawa Allah menciptakan manusia dalam keadaan lemah, sehingga manusia berhajat kepada orang lain. Tujuannya supaya manusia menyedari kebergantungan kepada Allah sebagai Pencipta, Pemberi Rezeki dan Pembuat Undang-undang, sehingga manusia taat kepada Allah dalam semua keadaan. Dalam masa manusia memerlukan manusia yang lain, kerana menyalurkan nikmat-Nya melalui manusia yang lain, sehingga manusia tidak menyombong diri.

Disebabkan oleh kelemahan-kelemahan yang bersilang ini, manusia memerlukan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain, lalu mereka saling bantu-membantu sehingga akhirnya berdiri sebuah negara. Dalam kata lain, kerana hajat manusia terhadap keperluan-keperluan mereka, maka berdirilah negara. Al-Mawardi menggariskan enam perkara yang menjadi sendi utama negara, iaitu:

1. Agama yang dihayati. Agama diperlukan untuk mengawal hawa nafsu manusia, dan ia merupakan sendi utama negara;

2. Pemimpin yang berwibawa. Kewibawaan pemimpin akan menyatukan rakyatnya, membangunkan negara, memelihara agama, membangunkan ekonomi serta menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat.

3. Keadilan yang menyeluruh. Semua pihak dalam negara diberikan keadilan. Pemimpin memberikan keadilan kepada rakyat, rakyat memberikan ketaatan dan kesetiaan, serta keadilan untuk yang sesama taraf;

4. Keamanan negara. Keamanan akan mententeramkan hati rakyat, kegiatan ekonomi berkembang dan inovasi berlaku;

5. Kemakmuran ekonomi di mana makan pakai rakyat mencukupi. Ia boleh mencegah konflik sosial dan melahirkan kedermawanan dalam kalangan rakyat; dan

6. Harapan terhadap kelangsungan hidup. Rakyat yang produktif dalam membina generasi baru sentiasa mempersiapkan seluruh infrastruktur untuk generasi mereka.

Daripada hajat terhadap semua keperluan inilah, maka manusia telah membentuk satu kontrak sosial untuk mengangkat pemerimtah dan membentuk sebuah negara. Pemimpin atau khalifah bertanggungjawab untuk menjaga agama dan memberikan kebajikan kepada rakyat, sedangkan rakyat mestilah memberikan ketaatan, mendukung dan memberi kesetiaan kepada khalifah.

Teori tujuan negara

Al-Mawardi adalah ilmuan yang pertama mengangkat teori tujuan negara dalam perbahasannya. Berbeza dengan Socrates (m. 399SM), Plato (m. 347SM) dan Aristotle (m. 322SM) yang merumuskan teori manusia sebagai makhluk sosial yang saling bergantung sehingga menubuhkan kota atau negara, al-Mawardi menganggap negara sebagai kedaulatan rakyat yang bercantum dari pergantungan antara satu sama lain, kemudian membentuk kontrak sosial. Dalam hal ini, al-Mawardi melangkah lebih jauh dengan membahas teori tujuan negara. Tidak seperti al-Farabi yang cuba melihat matlamat akhir negara adalah mencapai kebahagiaan (as-saadah), tetapi al-Mawardi membahaskan untuk apa negara ditubuhkan.

Dalam hal ini, al-Mawardi melihat khalifah adalah perpanjangan tangan nubuwah (kenabian). Negara atau kekhalifahan sebagai pelanjutan kepada tugas-tugas kenabian mempunyai dua tujuan utama, iaitu (1) memelihara agama, dan (2) mentadbir urusan dunia dengan berdasarkan agama Islam. Persoalan ini tugas asasi pemimpin (khalifah), selain sembilan lagi fungsi pemimpin negara yang akan diperincikan di bawah. Bagi al-Mawardi, untuk mencapai tujuan negara, pemimpin mestilah mempertahankan dan memelihara agama Islam menurut prinsip-prinsipnya yang telah ditetapkan, selain konsensus (ijmak) para ulamak. Secara mudah, teori tujuan negara yang dibahaskan oleh al-Mawardi adalah berada pada dua konsep dasar, iaitu (1) menjadikan aktiviti syariat sebagai urusan rasmi negara, dan (2) mewujudkan regulasi (aturan) aktiviti sosisl, ekonomi, politil, undang-undang dan ketenteraan mengikut dasar agama.

Dalam menerapkan syariat oleh negara, al-Mawardi berpandangan bahawa negara mesti mengendalikan urusan solat, zakat dan haji yang sebut sebagai wilayah al-imamah wa as-shalat, di mana urusan masjid, imam, muazzin menjadi tanggungjawab negara untuk semua solat. Begitu juga soal haji, perlu ada al-wilayah ‘ala al-hajj. Berkait dengan peraturan masyarakat seperti ekonomi, politil dan sosial, perlu ada peraturan yang diwujudkan oleh negara. Al-Mawardi melihat perlunya dibentuk lembaga-lembaga negara (al-wilayat) dan menyusun aturan-aturan (ahkam). Objektif kepada perkara-perkara ini adalah untuk mencapai tujuan negara yang telah disebutkan itu.

Pemimpin: Syarat dan tanggungjawab

Persoalan imamah (kepemimpinan) menjadi topik yang penting dalam perbincangan al-Mawardi kerana ia adalah teras negara selepas agama. Menurut al-Mawardi, para ulamak berbeza pendapat tentang kewajipan menegakkan imamah itu berdasarkan syariat atau akal. Tetapi beliau menggariskan hal imamah ini dalam empat perkara utama:

1. Para pemilih (ahl al-ikhtiyar). Mereka bertanggungjawab memilih dan mengangkat pemimpin umat, dan mempunyai tiga syarat, (1) adil, (2) mempunyai pandangan yang luas terhadap siapa yang berhak diangkat, dan (3) bijaksana dalam memilih pemimpin yang tepat.

2. Syarat-syarat menjadi pemimpin. Calon imamah atau khalifah mestilah mempunyai tujuh syarat, iaitu (1) adil, (2) berilmu yang luas, (3) memiliki pancaindera yang sempurna, (4) anggota badan yang sempurna, (5) memiliki wawasan yang tajam, (6) berani, dan (7) berketurunan Quraisy.

3. Prosedur mengangkat pemimpin. Pemimpin boleh diangkat oleh ahl al-aqdi wa al-halli atau wasiat daripada khalifah sebelumnya.

4. Fungsi pemimpin negara adalah untuk (1) mempertahan dan memelihara agama, (2) memelihara hak rakyat dan hukum-hukum Allah, (3) menetapkan hukuman dalam semua persengketaan, (4) melindungi wilayah kekuasaan dan menjamin keamanan rakyat, (5) menerangi orang yang merosakkan Islam, (6) menyusun kekuatan pertahanan negara, (7) mengendalikan kutipan hasil kekayaan negara, (8) mengatur belanjawan negara dari Baitul Mal, (9) meletakkan para ulamak dan ahli hukum sebagai rujukan rasmi negara, dan (10) menjamin keperluan asas rakyat yang tidak dapat dipenuhi sendiri, lalu diadakan oleh negara.

Sistem pemerintahan negara

Oleh kerana keadaan pemerintahan negara telah kompleks, al-Mawardi membahaskan secara detail tentang sistem atau struktur pemerintahan negara. Secara umum, beliau meletakkan struktur negara pada empat perkara utama iaitu imamah (khalifah), wazarah (kementerian), imarat ‘ala al-aqalim wa al-buldan (pentadbiran daerah), dan wazha’if ammah (jabatan umum). Keempat-empat bahagian ini mempunyai yang tersendiri dalam pentadbiran negara, tetapi berada di bawah kawalan khalifah sebagai ketua negara. Al-Mawardi menggaris prinsip-prinsip utama dan keperluan kepada setiap jabatan tersebut besertakan aturan-aturannya.

Bagi jawatan khalifah sebagai pengganti nabi, dia bertanggungjawab untuk memelihara agama dan mentadbir dunia dengan agama. Khalifah dipilih berdasarkan kaedah memilih pemimpin yang telah disebutkan berdasarkan syarat-syarat yang ketat. Tanggungjawabnya untuk menjalankan 10 perkara tersebut. Kewibawaan khalifah sangat penting untuk menguruskan dunia, dan hal ini telah dibahas oleh al-Mawardi di dalam kitab Adab ad-Dunya wa ad-Diin. Kata al-Mawardi, “Jika khalifah bertindak zalim, tidak akan ada seorang pun yang akan berlaku adil dalam perlaksanaan undang-undang, sebaliknya jika khalifah berlaku adil, tidak akan ada seorang pun yang berani berbuat zalim. Inilah pengaruh sultan dalam urusan-urusan dunia.”

Kemudian al-Mawardi menggariskan tentang fungsi wazarah yang terbahagi dua iaitu (1) wazir tafwidh dan (2) wazir tanfiz.’ Seorang wazir (menteri) menurut al-Mawardi mesti berpegang teguh pada agama, kebenaran, keadilan dan kebaikan. Mereka mesti menepati janji dan takutkan ancaman Allah. Wazir tafwidh adalah turut bertanggungjawab terhadap pembuatan dasar-dasar negara, sedangkan wazir tanfiz adalah dalam hal perlaksanaan dasar negara. Syarat menjadi menteri atau wazir tafwidh adalah sama seperti khalifah, kecuali tidak perlu berketurunan Quraisy.

Pentadbiran daerah pula adalah tentang kepala daerah atau gabenor yang bersifat khusus dan umum. Yang umum terbahagi dua iaitu imarah istikfa, yang dilantik atau dipilih oleh khalifah, serta imarah istila’, yang mendapat jawatan secara kekuatan atau perebutan. Setiap amir (gabenor) di daerah mempunyai tugas-tugas yang digariskan dengan jelas oleh al-Mawardi. Kemudian al-Mawardi menggariskan kewujudan dan fungsi jabatan-jabatan umum iaitu imarah al-jihad (jabatan tentera), wilayah al-qadha’ (lembaga kehakiman), mahkamah rayuan, jabatan ketertiban umum (al-hisbah) dan juga mazhalim. Secara umum, ia menggambarkan ketersusunan sistem negara dalam pemikiran al-Mawardi.

MOHD FADLI GHANI
Islamic Institute of Independent Research on Democracy (IIIRD) – HARAKAHDAILY 15/5/2019

- Advertisement -