Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (9)

- Advertisement -

نَّحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ نَبَأَهُم بِٱلۡحَقِّۚ إِنَّهُمۡ فِتۡيَةٌ ءَامَنُواْ بِرَبِّهِمۡ وَزِدۡنَٰهُمۡ هُدٗى

- Advertisement -

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”

Penekanan utama ayat:

●     Kisah

Dua pertiga kandungan al-Quran menggunakan konsep penceritaan. Ia satu konsep yang berkesan bagi menarik perhatian manusia. Tuhan jadikan lumrah manusia suka akan kisah-kisah dan hikayat. Kalau dulu orang berhibur dengan penglipurlara, kini pengkisahan diterjemahkan dari sudut lakonan filem.

Kelebihan kisah al-Quran adalah penceritaan yang dibawa adalah benar tanpa tokok tambah. Ia juga ringkas dan padat, tidak mementingkan watak dan angka, tetapi lebih kepada pengajaran di sebaliknya.

●     Pemuda

Fokus utama Ashabul Kahfi adalah mereka sekumpulan manusia yang berada pada umur pemuda. Banyak pandangan mengkategorikan umur pemuda. Secara umum, semua sarjana bersetuju bahawa mereka yang berada pada umur 20-39 termasuk di dalam kategori pemuda.

●     Iman dan hidayah

Kemuliaan Ashabul Kahfi adalah pada iman mereka yang tinggi. Iman adalah urusan akal. Akal mereka yang waras tidak bersetuju dengan agama syirik yang dianuti masyarakat ketika itu. Mereka menjauhkan diri dari upacara keagamaan. Lalu Allah memberikan mereka petunjuk atas iman yang dimiliki, membuatkan mereka beriman kepada Allah Maha Esa sebagaimana diterangkan pada ayat seterusnya.

Ibrah akhir zaman:

Sirah perjuangan Islam sejak zaman Adam hinggalah mutakhir ini merekodkan bahawa perjuangan Islam banyak didukung oleh orang muda. Pemuda adalah umur yang paling sempurna pada tahap kejadian mereka. Pada umur ini mereka memiliki kekuatan fizikal dan mental yang paling maksimum. Oleh kerana kelebihan ini jugalah pemuda menjadi pilihan utama perjuangan Islam.

Dalam satu athar meriwayatkan:

حالفني الشباب وخالفني الشيوخ

“Orang-orang muda berjanji taat setia kepadaku, sedang orang-orang meninggalkanku.”

Justeru menjadi kewajipan kepada pemuda dalam era kebangkitan kurun ke-15 Hijri ini, menjaga dan menyuburkan lagi kelebihan fizikal dan mental yang mereka miliki. Tarbiyah syakhsiah haruslah turut menekankan aspek minda dan jasmani selain daripada rohani yang tidak perlu dihuraikan lagi. Keseimbangan antara pengisian rohani, jasmani dan fikri perlu dilakukan kerana tanpa salah satu daripada ketiga elemen ini, cacatlah sifat seorang pemuda.

Namun yang paling penting antara ketiga elemen kepemudaan itu adalah sudut fikrah. Ini dijelaskan melalui ayat di atas, di mana iman dan hidayah yang dimiliki oleh Ashabul Kahfi itu adalah perbahasan fikrah. Pembinaan jati diri pemuda harus meletakkan fikrah sebagai tunjang utama.

Dari sudut psikologi dan biologi juga, pemuda merupakan umur paling kritikal bagi mentaliti manusia. Umur inilah mereka akan mencari identiti diri dan profesion hidup yang akan menentukan seluruh jalan kehidupan mendatang. Dari sudut pendidikan, umur inilah manusia melangkah ke alam pengajian tertinggi.

Walau bagaimanapun, cabaran pemuda juga tinggi. Dajjal sengaja mencipta arus songsang supaya pemuda lalai dan leka daripada membina pemikiran dengan baik. Dunia berkiblatkan Barat menganjurkan pemuda supaya berhibur dan bersantai menikmati umur-umur muda yang ada. Ajaran hedonisme menjalar ke seluruh dunia termasuk alam Islam.

Sabda Rasulullah S.A.W menggambarkan budaya hedonisme hari ini:

لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ ، يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا ، يُعْزَفُ عَلَى رُءُوسِهِمْ بِالْمَعَازِفِ وَالْمُغَنِّيَاتِ ، يَخْسِفُ اللَّهُ بِهِمْ الْأَرْضَ ، وَيَجْعَلُ مِنْهُمْ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ

“Manusia dari umatku akan meminum arak dan menamakannya bukan dengan nama arak. Mereka berhibur dengan alat muzik dan alunan lagu. Allah akan menenggelamkan bumi atas perbuatan mereka, menjadikan mereka kera dan khinzir.” 

[HR Ibn Majah]

 

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 15/5/2019

 

- Advertisement -