Pulihkan keyakinan terhadap ekonomi negara

amzad
- Advertisement -

KEMENTERIAN Kewangan digesa untuk mengambil langkah drastik dan segera untuk memulihkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.

- Advertisement -

Portal Bloomberg hari ini telah menyiarkan laporan berita bertajuk, “Global Investors Are Losing Patience With Malaysia”.

Perkara ini sangat memalukan dan boleh dianggap sebagai satu ‘hadiah istimewa’ kepada Menteri Kewangan. Mengapa tiada langkah pemulihan atau pengurusan risiko yang dilakukan oleh Menteri Kewangan?

Pelbagai indikator menunjukkan keyakinan majoriti rakyat dan pelabur luar negara telah merudum. Beberapa minggu lalu, dapatan dari KAJIDATA Research dan The Edge menunjukkan majoriti responden tidak yakin terhadap Pakatan Harapan dalam menguruskan ekonomi negara.

Tidak sekadar itu, sorotan dari FTSE Russell dan Morgan Stanley juga turut menunjukkan kebimbangan terhadap pasaran kewangan negara. Pengaliran keluar dana asing asing pada bulan April sahaja mencecah RM1.49 bilion.
Bagi kewangan sektor awam, defisit fiskal semakin membengkak kepada 3.8 peratus (RM53 bilion) pada akhir tahun 2018 dan hutang yang dibuat oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh tiga bulan pertama sahaja telah mencecah hampir RM28 bilion.

Jika situasi ekonomi ini berterusan, maka rakyat dan pelabur luar negara akan terus pesimis. Hal ini menunjukkan langkah kerajaan untuk mengkonsolidasi fiskal tidak akan menjadi kenyataan.

AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
14 Mei 2019 / 9 Ramadhan 1440 – HARAKAHDAILY 14/5/2019

- Advertisement -