Jelajah Ramadan 2019 bermula di LRT Cempaka

- Advertisement -
PANDAN: Program Jelajah Ramadan pada tahun ini membuka tirai dengan agihan dan edaran buah kurma kepada pengguna pengangkutan awam di LRT Cempaka, di sini petang semalam. 
 
Ketua Ameerah Pandan, Nurul Husna Abd Hamid berkata, program ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan sebagai salah satu cara untuk menghidupkan Ramadan di samping menyantuni masyarakat di sekitar Pandan. 
 
Program kerjasama di antara Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan PAS Kawasan Pandan ini disambut baik oleh masyarakat setempat daripada pelbagai peringkat umur, agama dan bangsa. 
 
Pengarah Program, Azhar Azlan pula menjelaskan, program ini menjadi salah satu uslub dakwah yang sangat memberi kesan kepada jawatankuasa penggerak juga masyarakat terutamanya di bulan Ramadan ini.
 
“Di antara amalan yang terbaik di bulan Ramadan ialah dengan memberi makan kepada orang yang berpuasa. Seperti hadis Nabi S.A.W yang bermaksud, “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun”. 
 
“Justeru, inilah peluang yang terbaik kita ada untuk mengumpulkan saham akhirat buat kita dan mereka,” ulasnya. 
                      
Program ini akan turut dipenuhi dengan beberapa aktiviti lain seperti sumbangan kit Ramadan, singgah sahur dan edaran bubur lambuk sepanjang bulan yang berkah ini. – HARAKAHDAILY 14/5/2019
- Advertisement -