Dalam jamaah kena ikut imam – Tuan Guru

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru ahli PAS hendaklah sentiasa istiqamah dalam perjuangan Islam merangkumi matlamat, dasar, akidah perjuangan dan menjaga akhlak Islam.

- Advertisement -

Ujarnya, ahli PAS boleh berbeza pendapat tetapi tidak boleh berpecah dan bergaduh.

Tegasnya, ahli mesti sentiasa bersatu di bawah satu titik persamaan dan saling bermaafan dalam setiap perbezaan.

“Seruan saya juga bila kita berada dalam parti, bermakna kita berjemaah, kalau solat berjemaah kita mesti ikut imam.

“Kalau imam silap kita boleh tegur, selagi tak batal solat. Jangan tolak imam dan ambil alih imam kerana dia silap, itu satu benda yang salah dari segi solat jemaah,” ujarnya.

Menurut beliau, berjemaah dalam parti ini lebih besar dan mencabar. Dengan sebab itu, umat Islam kena sedar khususnya dalam politik Islam ini, ada perkara dasar yang tidak boleh dipertikaikan, seperti asas perjuangan dan akidah.

Hal ini tidak boleh berbeza dan bergaduh sama sekali, mesti berpegang teguh kepada Majlis Syura Ulama yang mengendalikan parti dengan sebaik-baiknya.

Katanya, perkara yang berkaitan dengan ‘mutaghayyirat’ boleh berubah mengikut keadaan, situasi dan realiti.

“Ini perkara besar kerana berkait dengan strategi politik dan bagaimana kita hendak menangani isu-isu semasa. Ini perlu dibuat dengan cara yang bijaksana.

“Memang kita tidak ada tokoh seperti Nabi Muhammad S.A.W. dan Khulafa’ Rasyidin, tetapi kita boleh membentuk ketokohan secara berjemaah dan kolektif. Jadi bila sudah membuat satu keputusan jemaah, kita mesti patuh pada keputusan itu,” tambah beliau.

Beliau turut menyaksikan bagaimana mereka yang istiqamah dengan keputusan parti walaupun tidak setuju dalam pandangan mereka, tetapi bila parti membuat keputusan, mereka tetap patuh, tetap hadir dan bersama dengan parti, seperti Almarhum Ustaz Hassan Shukri dan lain-lain lagi.

Hatta bila dalam tahun pemilihan, sebagai contoh Dr Hj. Abbas Alias, daripada Yang Dipertua Agung PAS tidak dipilih dan menjadi ahli biasa, tetap terus hadir muktamar.

“Ustaz Hassan Shukri pernah bertanding Timbalan Presiden, tetapi tidak dipilih. Kita lantik, dia terus tidak tinggal dan berkhidmat dengan Pejabat PAS, meneruskan tarbiah, kita semua tahu.

“Ini contoh-contoh yang menarik dan kita kena sedar, di mana dalam perjuangan Islam ini kita perlu istiqamah hingga akhir hayat,” tambah beliau.

Sementara itu, beliau memberikan nasihat kepada seluruh pimpinan dan ahli selepas ditanya oleh wartawan dalam satu temubual pada bulan lalu mengenai Muktamar PAS memandangkan tahun ini adalah tahun pemilihan. – HARAKAHDAILY 14/5/2019

- Advertisement -