Shafie Apdal tidak perlu jadi Hero MA63

- Advertisement -
PAS Negeri Sabah hari ini menempelak tindakan Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang mengatakan sesiapa yang bekerjasama dengan PAS mesti ditolak oleh rakyat Sabah kerana PAS menolak usul pindaan Perkara 2 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan.
 
Dalam kempen kali ini, beberapa kali Shafie menyerang PAS yang menampakkan ketakutan kerajaan terhadap kesepakan parti-parti yang menyokong Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.
 
Shafie sepatutnya sedar bahawa PAS dan beberapa parti politik lain bukan menolak pindaan yang ingin dibuat. Apa yang dilakukan ialah tidak bersetuju dengan pindaan yang ingin dilakukan kerana pindaan yang dicadangkan tidak akan mengubah status Sabah seperti yang dikehendaki dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 
 
PAS sangat menyokong atas sebarang usaha untuk menjadikan Sabah lebih maju dalam segala bidang. Malah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pernah beberapa kali menyebut bahawa sepatutnya semua sumber kekayaan Sabah tidak diserahkan kepada Persekutuan kerana Sabah masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Semua sumber dan hasil kekayaan tersebut sepatutnya digunakan sepenuhnya untuk membangunkan Sabah. Itulah falsafah sebenar dalam pembangunan berteraskan agama Islam supaya nampak keadilan dalam pembangunan.
 
Shafie sepatutnya lebih rasional dalam sepanjang kempen yang sedang berlangsung sekarang. Lebih baik beliau menceritakan kejayaan pentadbiran Kerajaan Sabah dalam tempoh satu tahun yang lepas.
 
Saya menasihatkan kerajaan sekarang supaya membuat perancangan strategik untuk pembangunan rakyat Sabah. Ambil tindakan yang lebih agresif untuk membangunkan infrastruktur dan ekonomi rakyat.
 
MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah
9 Mei 2019 – HARAKAHDAILY 9/5/2019
- Advertisement -