Pembinaan negara kota dalam pemikiran Ibnu Abi Rabi’

- Advertisement -

TEORI pembinaan dan pembentukan negara telah diperkatakan oleh Plato (429-347SM) dan juga Aristotle (384-333SM), di mana menurut Plato manusia sebagai makhluk sosial tidak boleh hidup bersendirian, sebaliknya mereka memerlukan orang lain untuk memenuhi keperluannya. Dua faktor ini, menurut ahli falsafah Yunani itu, menyebabkan berdirinya negara. Tetapi teori asas Plato dan Aristotle itu disanggah oleh Ibnu Abi Rabi’ di mana menurut beliau, bahawa Allah menciptakan tabiat bagi manusia yang cenderung bermasyarakat, kemudian Allah menetapkan peraturan hidup (syariat) melalui kitab suci.

- Advertisement -

Pemikiran baru yang dibawa oleh Ibnu Abi Rabi’ iaitu memasukkan unsur agama kepada teori negara, telah menganjak pemikiran lama yang menganggap kemasyarakatan itu wujud secara spontan, semata-mata kerana keperluan dan kebergantungan antara satu sama lain. Sedangkan dalam teori kenegaraan Islam, Ibnu Abi Rabi’ secara jelas mempertegaskan tentang peranan Tuhan ke atas negara, termasuk dalam menentukan fitrah manusia untuk bermasyarakat, dan yang lebih penting Allah menurunkan wahyu dan nabi-nabi untuk membimbing manusia melalui pemimpin-pemimpin yang dilantik oleh Allah. Para pemimpin wajib melaksanakan hukum-hukum Allah dalam memastikan ketertiban kehidupan bernegara.

Ibnu Abi Rabi’ dan penerokaan karya politik terawal

Haji Khalifah (m. 1086M) mencatatkan bahawa Ibnu Abi Rabi’ ialah seorang sarjana Islam yang memiliki nama asalnya, Syihabuddin Ahmad bin Muhammad bin Abi Rabi’. Tentang tarikh lahir dan zaman kehidupannya masih diperbahaskan. Walaupun ramai sarjana yang berpegang bahawa beliau hidup pada zaman Khalifah al-Mu’tashim Billah, putera Harun ar-Rashid, tetapi ada pendapat orientalis yang mengatakan beliau hidup pada zaman al-Musta’shim (m. 1258M), khalifah terakhir di Baghdad. Ibnu Abi Rabi’ dicatatkan mati pada tahun 273H / 885M. Karya yang ditulis oleh beliau, disebutkan bertujuan untuk dipersembahkan kepada Khalifah al-Mu’tashim Billah sebagai panduan memerintah negara.

Karya agung beliau, Suluk al-Malik fi Tadbir al-Mamalik yang menggariskan perilaku para raja dalam menguruskan negara, dikatakan karya pertama dalam sejarah Islam yang menggariskan peraturan kenegaraaan Islam secara khusus. Tulisan-tulisan lebih awal seperti al-Kharaj tulisan Qadhi Abu Yusof adalah kitab fiqh ekonomi yang bernuansa politik, tetapi Suluk al-Malik adalah secara khusus membahaskan tentang teori negara. Kitab ini terbahagi kepada empat bahagian iaitu muqaddimah, prinsip etika, pelbagai perbuatan rasional dan peraturannya, serta bahagian-bahagian dan prinsip politik. Ramai pengkaji Barat menganggap corak perbincangan kitab ini mendahului zaman, sehingga mereka meragui tentang zaman hidupnya Ibnu Abi Rabi’.

Teori pembinaan negara dan kota

Ibnu Abi Rabi’ berpegang bahawa pergantungan sesama manusia dalam memenuhi keperluan mereka mendorong kepada berdirinya negara atau kota. Bagi beliau keperluan asas manusia ada lima iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal, pembinaan generasi (reproduksi) dan kesihatan. Manusia pada asasnya tidak mampu memenuhi semua keperluan ini secara bersendirian, sehingga mereka saling memerlukan kebolehan orang lain untuk mendapatkan keperluan hidupnya. Bagi Ibnu Abi Rabi’, realiti ini berlaku kerana Allah menciptakan manusia secara fitrahnya suka bermasyarakat.

Kepelbagaian manusia dalam kehidupan bermasyarakat itulah menyebabkan mereka memerlukan ketua atau pemimpin. Pemimpin diberikan tugas oleh Allah untuk mengatur hak dan kewajipan setiap anggota masyarakat, sebagai tempat rujukan mereka dan pemimpin mesti dipatuhi. Allah telah mengangkat sebahagian daripada manusia menjadi pemimpin untuk melaksanakan peraturan agama (syariat), dan menggunakan peraturan ini untuk menjaga ketertiban masyarakat, memenuhi keperluan mereka dan menyekat daripada berlakunya pelanggaran hak-hak masyarakat.

Pada asasnya, Ibnu Abi Rabi’ membayangkan bahawa manusia cenderung hidup bermasyarakat, kerana itu mereka disebut makhluk sosial dan budaya. Tetapi beliau berganjak dari pemikiran filosof Yunani sebelumnya dengan meletakkan Allah sebagai pemberi tabiat ini, lalu Allah jugalah yang menetapkan peraturan dan undang-undang melalui agama dan kitab suci. Kitab-kitab suci yang diturunkan Allah menghimpun hukum dan ketentuan Ilahi. Maka dalam hal ini, para pemimpinlah yang bertanggungjawab memastikan semua peraturan syariat dilaksanakan kepada pengikut atau rakyatnya.

Corak pemerintahan dan kepemimpinan negara

Sebagai tokoh yang hidup pada zaman keagungan Daulah Abbasiyah, iaitu era Khalifah Mu’tashim Billah (833-842M), Ibnu Abi Rabi’ dalam membahaskan tentang corak atau bentuk pemerintahan, meletakkan model monarki, iaitu pemerintahan yang berada di bawah seorang raja, sebagai yang terbaik. Beliau menolak pemerintahan aristokrasi (kerajaan di tangan sekelompok elit pilihan atas dasar harta dan kedudukan), oligarki (kerajaan di tangan sekelompok kecil orang kaya) dan demokrasi (kerajaan yang berada di tangan seluruh rakyat). Beliau juga menolak keras kerajaan demagogi, yakni kerajaan yang berada di tangan rakyat yang anarkis.

Menurut beliau, kerajaan yang mempunyai banyak pemimpin akan membawa kepada kekacauan dan tidak dapat bersatu. Pemimpin monarki berkuasa mutlak, manakala seluruh pegawai negara adalah pelaksana titahnya. “Semua orang yang dilantik dalam kerajaan cukup dengan mendengar, mentaati dan melaksanakan perintah raja. Mereka umpama tubuh badan raja yang digunakan semahunya.” Keperluan negara kepada monarki adalah untuk mewujudkan keadilan kepada rakyat, menolak kezaliman, memandu negara dengan tujuan yang betul dan memenuhi kemaslahatan rakyat.

Ibnu Abi Rabi’ meletakkan pemimpin sebagai tiang utama negara. Sebagai pilar terpenting, seorang ketua negara mesti mempunyau enam sifat iaitu (1) paternalistik (bernasab dengan raja sebelumnya), (2) bercita-cita besar dalam kepemimpinan, (3) berpandangan tepat dalam membuat dasar negara, (4) memiliki ketahanan diri untuk menghadapi sebarang cabaran, (5) memiliki harta hasil dari keadilan kerajaan kepada rakyat, dan (6) mempunyai para pembantu yang setia dan dipercayai. Sebenar Ibnu Abi Rabi’ telah membahaskan dengan panjang dan terperinci tentang pemimpin negara, kerana dia adalah tiang yang menentukan jatuh dan bangunnya kerajaan.

Menurut Ibnu Abi Rabi’ lagi, untuk menguruskan negara, pemimpin yang telah memenuhi sifat-sifat yang digariskan, mestilah memastikan pengurusan negara tidak terkeluar dari empat asas. Pertama, akal yang membantu pemimpin mentaati Allah dan Rasul serta berakhlak mulia; kedua, kedermawanan iaitu sifat belas kasihan kepada rakyat terbawah dan lemah; ketiga, politik iaitu tahu cara menjinak hati rakyat dan berhelah dengan musuh; dan keempat, ketegasan iaitu tidak bersangka baik kepada semua orang, menyembunyikan rahsia dan mampu membuat jangkaan terhadap sebarang kemungkinan.

Pendirian negara dan pilarnya

Untuk mendirikan sebuah negara, Ibnu Abi Rabi’ meletakkan enam syarat asas supaya menjadi kukuh. Enam perkara itu ialah bekalan air tawar yang mencukupi, mudah mendapatkan bantuan, lokasi yang strategik, dekat pengembalaan, terjamin dari landaan musuh dan boleh mengawal semua komponen negara. Jika enam asas tidak wujud di sesuatu tempat, maka sukar untuk mendirikan sebuah kota yang baik. Bagi Ibnu Abi Rabi’ juga, soal kedudukan dan pengurusan ekonomi negara menjadi teras yang penting untuk menjamin semua keperluan rakyat dipenuhi.

Maka dalam hal ini, beliau meletakkan beberapa perkara sebagai tiang sesebuah negara iaitu pertama, pemimpin monarki yang mempunyai kelayakan yang ketat; kedua, rakyat dengan tujuh golongan iaitu ahli ibadat, hukamak, ulamak, bangsawan, tentera, peniaga dan penduduk kota; ketiga, keadilan iaitu menerapkan hukum Allah yang sama kepada semua rakyat dan memberikan hak-hak rakyat; dan keempat, organisasi negara iaitu para wazir yang menghubungkan antara pemimpin dan rakyat.

Perkara yang merosakkan negara

Enam perkara telah ditekankan oleh Ibnu Abi Rabi’ sebagai perkara yang mesti diberati oleh pemimpin kerana ia boleh merosakkan negara. Para pemimpin tertinggi tidak boleh melakukan hal-hal ini, kerana ia mendatangkan keburukkan kepada negara. Enam perkara tersebut ialah,

I. Mengangkat menteri yang tidak berkelayakan dan tidak profesional akan membahayakan kerajaan;

II. Bermesyuarat dengan orang yang tidak amanah akan meruntuhkan kerajaan;

III. Menyerahkan rahsia kepada orang yang tidak dapat dipercayai akan mendedahkan rahsia-rahsia kerajaan;

IV. Meminta bantuan kepada orang yang tidak mampu akan merosakan urusan kerajaan;

V. Menyia-nyiakan pekerjaan menunjukkan kelemahan akal pelakunya; dan

VI. Melakukan kebodohan bererti menunjukkan sifat bodohnya kepada orang awam.

MOHD FADLI GHANI
Islamic Institute of Independent Research on Democracy (IIIRD)
3 Ramadhan 1440 / 8 Mei 2019 – HARAKAHDAILY 9/5/2019

- Advertisement -