Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (4)

- Advertisement -

مَّا لَهُم بِهِۦ مِنۡ عِلۡمٖ وَلَا لِأٓبَآئِهِمۡۚ كَبُرَتۡ كَلِمَةٗ تَخۡرُجُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡۚ إِن يَقُولُونَ إِلَّا كَذِبٗا

- Advertisement -

“Mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.”

Penekanan utama ayat:

●     Berkata tanpa ilmu

Islam adalah agama ilmu. Perkataan pertama yang turun adalah اقرأ bererti bacalah, merujuk kepada wasilah ilmu. Mereka yang berpegang kepada ajaran Islam mestilah mereka yang meletakkan ilmu sebagai kepentingan utama.

Bercakap tanpa ilmu adalah perkara yang amat ditentang di dalam Islam. Firman Allah S.W.T:

إِذْ تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُم مَّا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ اللَّـهِ عَظِيمٌ

“Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.”

[an-Nur:15]

Golongan inilah yang digelar sebagai sesat lagi menyesatkan. ٍSabda Rasulullah S.A.W:

إن اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ النَّاسِ ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يَتْرُكْ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

“Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan menarik langsung daripada para hambaNya, tetapi menarik ilmu dengan mematikan para ulama’. Sehingga apabila tiada lagi seorang alim yang tinggal, maka dilantik kalangan orang jahil sebagai pemimpin. Maka mereka ditanya lalu mengeluarkan pandangan tanpa ilmu, lalu mereka sesat lagi menyesatkan”

[HR Bukhari & Muslim] 

●     Anti taqlid buta

Tuhan sengaja memetik لآباءهم  bermaksud bapa-bapa mereka, bagi merujuk bahawa bapa-bapa mereka juga tidak tahu. Tetapi tabiat manusia mudah dipengaruhi cakap-cakap orang tua sehingga ke tahap kepercayaan akidah. Sedangkan ajaran Islam adalah terbina atas asas ilmu, bukan ikut-ikutan. Sikap taqlid buta amat-amat ditentang dalam Islam kerana ia bertentangan dengan prinsip keilmuan. Firman Allah SWT:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنزَلَ اللَّـهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا ۗ أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ 

“Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?”

[Al-Baqarah 168]

     Bahaya lidah

Lidah tidak bertulang ini walaupun lembut, tetapi kesannya sangat besar dalam kehidupan. Dengan lidah kita diiktiraf sebagai Islam iaitu dengan lafaz syahadah. Lidah juga menjadi satu antara tiga jalan seseorang boleh jatuh ke lembah kekufuran. Justeru menjaga lidah adalah sesuatu yang teramat penting di dalam Islam. Sabda Rasulullah ketika menerangkan tentang gambaran Islam kepada Muaz bin Jabal:

ألا أخبرك بمِلاك ذلك كله؟)) فقلت: بلى يا رسول الله، فأخذ بلسانه وقال: ((كف عليك هذا))، قلت: يا نبي الله، وإنا لمؤاخذون بما نتكلم به؟! فقال: ((ثكلتك أمك يا معاذ، وهل يكُبُّ الناسَ في النار على وجوههم – أو قال: على مناخرهم – إلا حصائدُ ألسنتهم)

“Tidakkah kamu mahu aku khabarkan tentang asas bagi segala perkara tersebut? Jawab Muaz: “Ya Wahai Rasulullah.” Muaz bertanya: “Wahai Nabi Allah, adakah kami akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kami kata?” Jawab Rasulullah SAW: “Semoga ibumu mengasihanimu. Tidaklah seseorang dihumban ke dalam neraka melainkan daripada hasil kata-kata mereka.””

[HR Tirmizi]

     Penipuan trademark musuh Islam

Islam agama kebenaran. Kebenaran di sisi tuhan hanya satu. Justeru bagi menentang Islam, senjata musuh mestilah lawan kebenaran iaitu pembohongan. Mereka menggunakan lidah mereka menyebarkan pembohongan demi menutup hakikat Islam. Firman Allah S.W.T:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّـهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).”

[As-Saff: 8]

Umat Islam perlu menjauhi sifat menipu. Ia adalah lambang kemunafikan. Sabda Rasulullah S.A.W:

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاثٌ : إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ ، وَإِذَا ائْتُمِنَ خَانَ

“Tanda orang munafik ada tiga. Jika dia bercakap dia berbohong. Jika dia berjanji dia mungkir. Jika dia diberi amanah dia khianat.”

[HR Bukhari & Muslim]

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini juga merupakan satu antara 10 ayat pertama yang Rasulullah pesan agar membacanya bagi menyelamatkan diri daripada fitnah Dajjal. Bagi menentang tipu daya Dajjal adalah dengan membina generasi umat Islam yang berilmu. Ilmu pula mestilah bersumberkan kepada wahyu yang sahih, disokong dengan ilmu-ilmu akademik yang lain dan ilmu-ilmu moden yang banyak.

Malangnya hari ini kita hidup di era post-truth, era ilmu dan kebenaran sudah ditinggalkan. Secara ringkas, Post-Truth adalah satu istilah bagi menggambarkan keadaan di mana manusia sudah tidak mementingkan kebenaran sebagai asas pegangan. Sesuai dengan terjemahan secara literalnya ‘selepas kebenaran’, ia seolah merujuk kepada maksud bahawa era kebenaran telahpun berlalu ataupun kebenaran telahpun mati. Kamus Oxford menerangkan bahawa Post-Truth adalah keadaan di mana fakta objektif tidak begitu berpengaruh dalam membentuk pandangan awam berbanding emosi dan pandangan peribadi. Menurut kamus Cambridge juga menerangkan keadaan yang sama, di mana Post-Truth adalah situasi di mana manusia lebih suka untuk menerima argumen berdasarkan emosi dan pandangan peribadi mereka, berbanding dengan fakta.

Lapan kata kunci bagi memahami post-truth:

Penipuan

Perspektivisme

Persepsi

Emosi

Propaganda

Teori Konspirasi

Kebebasan Berpendapat

Media Sosial

Fenomena post-truth sebenarnya sudah dijelaskan oleh Nabi S.A.W sejak 1400 tahun dahulu. Sabda Baginda S.A.W:

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتٌ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ , وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ , وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ ، قِيلَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قَالَ : الرَّجُلُ التَّافِهُ يَنْطِقُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

“Akan datang kepada manusia, tahun-tahun yang banyak pembohongan. Padanya dibenarkan pembohong dan orang yang benar dituduh berbohong. Pengkhianat diberikan kepercayaan dan orang yang jujur dikhianati. Dan ketika itu golongan ruwaibidhah gemar bercakap”. Sahabat bertanya “Apakah itu Ruwaibidhah?”. Jawab Nabi “Orang yang lekeh tetapi bebas berbicara perkara besar” 

 [HR Ibn Majah]

Secara ringkasnya, hadis ini menjelaskan fenomena ‘Post Truth’:

•     Penipuan yang dahsyat dan terlalu banyak.

•     Ketika itu paradigma manusia menjadi songsang.

•     Pembohongan dan pengkhianatan mendapat sambutan.

•     Kejujuran dan keadilan disisihkan kerana dianggap sebagai beban.

•     Budaya pembodohan dan onar dipupuk. Lalu masyarakat yang telah dibodohkan bebas untuk memberi pendapat dan disuruh memilih.

Dengan ilmu, kita bukan sahaja berjaya menentang fitnah Dajjal, tetapi kita juga akan meramaikan kawan kerana post-truth tidak hanya ditentang oleh Islam, tetapi juga oleh ahli akademik keseluruhannya yang berpijak atas paksi ilmu.

Nabi S.A.W mengajarkan doa supaya sentiasa berada di jalan yang benar dan menjauhi jalan batil. Sabdanya:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقَّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ وَلاَ تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلُّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ إِمَامًا

 “Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya serta menghapuskannya. Jangan jadikan yang benar dan batil itu samar-samar bagi kami, yang akan menyebabkan kami sesat. Dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

[HR Bukhari & Muslim]

4 Ramadhan 1440
9 Mei 2019

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 9/5/2019

 

- Advertisement -