Usah ghairah tukar akta lama

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS menyambut baik keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak memansuhkan Akta SOSMA dan Akta POCA berdasar kajian jawatankuasa khas mengenainya.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua akta terbabit perlu dikekalkan dengan penambahbaikan bagi mengelak berlaku salahguna kuasa individu yang berkepentingan.

“Saya melihat kerajaan sekarang terlalu ghairah menukar akta-akta lama tanpa mengambil kira kepentingannya kepada masyarakat.

“Bagi kita akta yang ada tersebut perlu dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan tazkirah Ramadan di Dewan Zulkifli Mohamad Pejabat Perhubungan PAS Kelantan hari ini.

Awal tahun ini Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akta-akta terbabit dikekalkan dengan sedikit pindaan walaupun Pakatan Harapan dalam manifestonya berhasrat memansuhkan peraturan tersebut.

SOSMA ialah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan POCA (Akta Pencegahan Jenayah) manakala Akta Pencegahan Keganasan (POTA) diwujudkan bagi menjaga keselamatan negara. – HARAKAHDAILY 8/5/2019

- Advertisement -