Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (3)

- Advertisement -

وَيُنذِرَ ٱلَّذِينَ قَالُواْ ٱتَّخَذَ ٱللَّهُ وَلَدٗا

- Advertisement -

“Dan juga Al-Quran itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:” Allah mempunyai anak”.”

Penekanan utama ayat:

●        Al-Quran perangi syirik

Syirik ertinya mempersekutukan Allah atau menyamakan Allah dengan makhluk. Ayat ini menegah mereka yang berkata tuhan memiliki anak. Kepercayaan ini menyebabkan seseorang boleh menjadi kufur. Sedangkan tuhan menegaskan bahawa dia satu tidak beranak. Firman Allah:

لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ 

“Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan”

[Al-Ikhlas:3]

Syirik adalah penyakit akidah dan menjadi dosa terbesar di sisi Islam. Jika mati dalam keadaan demikian, mereka akan kekal di dalam neraka. Oleh itu, sebahagian besar ayat-ayat al-Quran adalah melibatkan soal akidah.

●     Musyrik, Yahudi dan Kristian

Kepercayaan tuhan memiliki anak ini dikongsi oleh tiga agama. Kepercayaan Musyrikin Arab bahawa malaikat anak perempuan Allah, Kristian yang menganggap Nabi Isa anak tuhan, dan kepercayaan Yahudi purba bahawa Uzair anak tuhan. Firman Allah S.W.T:

وَيَجۡعَلُونَ لِلَّهِ ٱلۡبَنَٰتِ سُبۡحَٰنَهُۥ وَلَهُم مَّا يَشۡتَهُونَ

“Dan mereka mengatakan Allah mempunyai anak-anak perempuan. Maha Suci Ia. Sedang bagi mereka pula mereka sediakan apa yang mereka sukai (anak-anak lelaki).”

[An-Nahl:57]

وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ عُزَيۡرٌ ٱبۡنُ ٱللَّهِ وَقَالَتِ ٱلنَّصَٰرَى ٱلۡمَسِيحُ ٱبۡنُ ٱللَّهِۖ  

“Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”.”

[At-Tawbah:30]

Kesemua pegangan manusia ini berasal dari ajaran iblis yang telah berjanji ingin menyesatkan anak Adam sehingga kiamat. Tanpa tipu daya Iblis, mustahil manusia boleh menganggap tuhan memiliki anak. Ia bertentangan dengan logik akal dan juga fitrah insani. Iblis adalah musuh utama manusia.

●     Berani mendedah kesyirikan

Walaupun Islam tidak memaksa manusia menganutnya, tetapi Islam mewajibkan pendakwah agar menyelamatkan manusia seramai mungkin daripada kesesatan pegangan selain daripada Islam. Berani menyatakan agama dan pegangan lain salah, dan mempertahankan kebenaran agama ini dengan hujah yang kukuh.

Racun pemikiran Liberalisme cuba untuk menghakis pendekatan ini dengan mengatakan semua agama adalah benar, dan Islam tidak ada hak untuk mengatakan mereka lebih benar berbanding agama lain. Pluralisme agama sedikit demi sedikit meresap dalam kalangan umat Islam, sehinggakan perbahasan interfaith secara ilmiah sebagaimana yang diamalkan Dr Zakir Naik disekat habis-habisan.

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini juga merupakan satu antara 10 ayat pertama yang Rasulullah pesan agar membacanya bagi menyelamatkan diri daripada fitnah Dajjal. Fitnah Dajjal boleh membawa kepada syirik. Walaupun pada awalnya Dajjal bergerak atas nama Islam, tetapi selepas itu dia akan mengaku sebagai Nabi dan akhirnya, mengaku sebagai tuhan. Sabda Rasulullah S.A.W:

الدجالُ ليس به خفاءٌ يَجيءُ منقِبلِ المشرقِ فيَدعو إلى الدينِ فيُتَّبَعُ ويظهرُ فلا يزالُ حتى يقدمَ الكوفةَفيُظهِرُ الدينَ ويعملُ به فيتبعُ ويحثُّ على ذلك ثم يدَّعي أنَّهُ نبيٌّ فيفزعُمن ذلك كلُّ ذي لُبٍّ ويفارقُهُ فيمكثُ بعد ذلك فيقولُ أنا اللهُ فتُغشى عينُهُوتُقطَعُ أذنُهٌ ويكتبُ بين عينيْهِ كافرٌ فلا يَخفى على كلِّ مسلمٍ فيفارقُهُ كلُّ أحدٍ منَ الخلقِ في قلبِهِ مِثقالُ حبةٍ من خَردلٍ من إيمانٍ

“Tanpa syak lagi Dajjal akan muncul dari arah Timur. Diaakan mengajak kepada agama maka dia akan diikuti dan menzahirkannya. Kemudian pergi ke Kufah, kemudian mengaku sebagai Nabi. Yang berakal akan meninggalkannya. Selepas itu dia mengaku pula akulah Allah!. Ketika itu matanya dicederakan, telinganya dipotong, dan dahinya tertulis kafir. Orang Islam yang memiliki iman sebesar biji sawi akan meninggalkannya.”

[HR Thabrani]

Ditakdirkan tuhan, Dajjal diberikan kelebihan seolah-olah memiliki kuasa tuhan. Dajjal boleh mengawal cuaca:

فَيَأْتِي عَلَى الْقَوْمِ فَيَدْعُوهُمْ فَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَجِيبُونَ لَهُ ، فَيَأْمُرُ السَّمَاءَ فَتُمْطِرُ ، وَالأَرْضَ فَتُنْبِتُ ، فَتَرُوحُ عَلَيْهِمْ سَارِحَتُهُمْ – الماشية – أَطْوَلَ مَا كَانَتْ ذُرًا – الأعالي والأسنمة – وَأَسْبَغَهُ ضُرُوعًا ، وَأَمَدَّهُ خَوَاصِرَ – كناية عن الامتلاء وكثرة الأكل – . ثُمَّ يَأْتِي الْقَوْمَ فَيَدْعُوهُمْ فَيَرُدُّونَ عَلَيْهِ قَوْلَهُ فَيَنْصَرِفُ عَنْهُمْ فَيُصْبِحُونَ مُمْحِلِينَ لَيْسَ بِأَيْدِيهِمْ شَيْءٌ مِنْ أَمْوَالِهِمْ .

“Dajjal akan mendatangi sesuatu kaum lalu menyeru supaya mengikutinya, lalu kaum tersebut mengikutinya. Maka dia memerintahkan langit untuk hujan dan bumi untuk mengeluarkan tumbuhan. Maka binatang-binatang peliharaan mereka menjadi gemuk dan sihat. Kemudian dia mendatangi sesuatu kaum lalu menyeru supaya mengikutinya, lalu kaum tersebut menolak dan meninggalkan Dajjal. Keesokan harinya mereka dapati tanaman mereka tidak menjadi.”

[HR Muslim]

Dajjal boleh menghidupkan orang mati. Sabda Rasulullah S.A.W:

يَأْتِي الدَّجَّالُ ، وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيْهِ أَنْ يَدْخُلَ نِقَابَ المَدِينَةِ ، فَيَنْزِلُ بَعْضَ السِّبَاخِ الَّتِي تَلِي المَدِينَةَ ، فَيَخْرُجُ إِلَيْهِ يَوْمَئِذٍ رَجُلٌ ، وَهُوَ خَيْرُ النَّاسِ – أَوْ مِنْ خِيَارِ النَّاسِ – فَيَقُولُ أَشْهَدُ أَنَّكَ الدَّجَّالُ الَّذِي حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدِيثَهُ ، فَيَقُولُ الدَّجَّالُ: أَرَأَيْتُمْ إِنْ قَتَلْتُ هَذَا ، ثُمَّ أَحْيَيْتُهُ ، هَلْ تَشُكُّونَ فِي الأَمْرِ؟ فَيَقُولُونَ: لاَ ، فَيَقْتُلُهُ ثُمَّ يُحْيِيهِ ، فَيَقُولُ: وَاللَّهِ مَا كُنْتُ فِيكَ أَشَدَّ بَصِيرَةً مِنِّي اليَوْمَ ، فَيُرِيدُ الدَّجَّالُ أَنْ يَقْتُلَهُ فَلاَ يُسَلَّطُ عَلَيْهِ 

“Dajjal datang dan diharamkan baginya memasukinya terowong ke Madinah, maka dia pergi ke beberapa kawasan bergaram berhampiran Madinah, maka pada suatu hari seorang lelaki yang dikira sebaik-baik manusia pada waktu itu pergi kepada Dajjal lalu berkata: aku bersaksi bahawa kamulah Dajjal yang Rasulullah S.A.W ceritakan pada kami! Lalu Dajjal membalas dengan berkata kepada pengikutnya: Sekiranya aku membunuh dia, kemudian aku hidupkannya kembali, adakah kalian akan meragui diriku? Jawab pengikutnya, tidak. Maka Dajjal membunuhnya dan menghidupkannya kembali. Lelaki itu berkata: Demi Allah, semakin jelas benarnya bahawa kamu adalah Dajjal! Lalu Dajjal ingin membunuhnya semula tetapi lagi mampu.”

[HR Bukhari & Muslim]

Dajjal boleh meletakkan syurga dan neraka di tangannya. Sabda Rasulullah S.A.W:

مَعَهُ نَهْرَانِ يَجْرِيَانِ أَحَدُهُمَا رَأْيَ الْعَيْنِ مَاءٌ أَبْيَضُ وَالآخَرُ رَأْيَ الْعَيْنِ نَارٌ تَأَجَّجُ ، فَإِمَّا أَدْرَكَنَّ أَحَدٌ فَلْيَأْتِ النَّهْرَ الَّذِي يَرَاهُ نَارًا وَلْيُغَمِّضْ ثُمَّ لْيُطَأْطِئْ رَأْسَهُ فَيَشْرَبَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مَاءٌ بَارِدٌ

“Di tangan Dajjal terdapat dua sungai. Salah satunya sungai berair jernih dan satu lagi berupa api yang marak. Sekiranya kamu sempat pada zaman itu maka pergilah ke arah sungai yang berupa api itu. Tutuplah mata dan tenggelamkan kepala lalu minumlah darinya. Sesungguhnya itu adalah air yang sejuk.”

[HR Muslim]

Akidah Islam yang sahih adalah benteng utama daripada tergelincir daripada mengikuti Dajjal. Melalui hadis di atas, kita boleh melihat orang yang awalnya terpedaya dan menjadi pengikut Dajjal mula tersedar dan meninggalkannya apabila dia mula mengaku sebagai Nabi.

Maka menuntut ilmu bagi membina akidah yang sahih adalah kewajipan fardu ain yang teramat perlu di akhir zaman. Ancaman akidah kini tidak lagi dalam bentuk falsafah kuno atau agama-agama lain, tetapi lebih kepada ideologi moden yang bertunjangkan materialism dan humanisme. Memahami ideologi-ideologi adalah keperluan mendesak umat Islam supaya tidak tertipu dengan fitnah Dajjal.

3 Ramadhan 1440
8 Mei 2019

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 8/5/2019

 

- Advertisement -