Remaja Batak Rabit dimotivasi imarahkan Ramadan

- Advertisement -
TELUK INTAN: Pemuda dan Muslimat PAS Cawangan Kampung Batak Rabit telah mengadakan Majlis Pelancaran Ehya’ Ramadan khusus untuk golongan remaja di Surau Al-Khairiah, di sini semalam.
 
Majlis telah dirasmikan Ketua PAS Kampung Batak Rabit, Ustaz Habib Mahfuz yang menyeru para remaja mengimarahkan masjid dan surau dengan ibadah kerana dilipatgandakan pahala amalan pada bulan ini.
 
Ketua Muslimat PAS Kampung Batak Rabit, Ustazah Norasiha Hanafi memaklumkan, program ini bertujuan mendidik dan memotivasikan para remaja untuk merebut segala kelebihan dalam Ramadan.
 
Jelas beliau, pengisian penuh bagi program ini akan diadakan pada 12 Mei depan sempena Sambutan Hari Ibu antaranya pertandingan azan, hafazan al-Quran, cipta kad ucapan Hari Ibu dan Hari Raya, kuiz dan mewarna.
 
Tazkirah Ramadan sempena majlis ini telah disampaikan Penasihat Surau Al-Khairiah, Ustaz Haris Abdul Razak berserta kuiz pengetahuan Islam kepada sekitar 20 peserta kanak-kanak dan remaja yang hadir.
 
Turut serta pada majlis tersebut adalah Ketua Muslimat dan Ketua Ameerah PAS Kawasan Teluk Intan, Robi’atun Mohd Abas dan Iffah Kamilah Ahmad Khushairi serta Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Cawangan. – HARAKAHDAILY 6/5/2019
- Advertisement -