Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman

- Advertisement -

AYAT 1:

- Advertisement -

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبۡدِهِ ٱلۡكِتَٰبَ وَلَمۡ يَجۡعَل لَّهُۥ عِوَجَاۜ

“Segala puji terentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)”

Penekanan utama ayat:

●     Al-Quran nikmat terbesar

Menurut Dr Wahbah Zuhaili, tidak syak lagi nikmat terbesar di dunia ini adalah penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad S.A.W kerana ia adalah ubat bagi segala kemusykilan manusia, penyelamat dari kegelapan kepada cahaya dan kebenaran yang teguh tanpa sebarang kelemahan.

●     Konsistensi al-Quran

Oleh kerana ia adalah kalam Allah yang memandu manusia hidup lurus sehingga hari kiamat, kita akan dapati seluruh ajaran yang terkandung di dalamnya sangat sempurna langsung tidak memiliki sebarang kecacatan atau kekurangan (loophole). Berbeza dengan sistem atau undang-undang ciptaan manusia yang sering berhadapan dengan isu loophole, luput masa (obselete) dan pertembungan (conflict) yang membawa kepada terpaksa dipinda setiap masa.

●     Al-Quran tidak pernah berjaya diubah atau dicabar

Berbeza dengan kitab-kitab samawi lain, al-Quran dilindungi oleh Allah S.W.T daripada sebarang usaha pengubahan. Sifat kalis penyelewengan yang dimilikinya membuatkan ia kekal relevan walaupun sudah lebih 1400 tahun diturunkan. Ia juga tidak berjaya disaingi oleh mana-mana tulisan lain baik dari sudut ketepatan fakta, keindahan bahasa atau kekuatan hujah yang dibawa.

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini merupakan satu antara 10 ayat pertama yang Rasulullah pesan agar membacanya bagi menyelamatkan diri daripada fitnah Dajjal. Sabda Rasulullah S.A.W:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

“Barangsiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan selamat daripada Dajjal.”

Justeru al-Quran yang menjadi subjek utama dalam ayat ini merupakan perkara yang sangat penting di akhir zaman. Dengan memahami kandungan al-Quran secara tepat mengikut kaedah yang telah digariskan oleh sarjana Islam, insyaAllah kita akan selamat daripada fitnah Dajjal yang dahsyat.

Fitnah yang dibawa oleh Dajjal adalah kekeliruan. Rasulullah bersabda bahawa Dajjal pada mulanya akan mengaku diri sebagai Muslim, menyeru manusia atas nama agama dan akan menarik pengikut yang ramai. Sabda Rasulullah S.A.W:

الدجالُ ليس به خفاءٌ يَجيءُ من قِبلِ المشرقِ فيَدعو إلى الدينِ فيُتَّبَعُ ويظهرُ فلا يزالُ حتى يقدمَ الكوفةَ فيُظهِرُ الدينَ ويعملُ به فيتبعُ ويحثُّ على ذلك ثم يدَّعي أنَّهُ نبيٌّ فيفزعُ من ذلك كلُّ ذي لُبٍّ ويفارقُهُ فيمكثُ بعد ذلك فيقولُ أنا اللهُ فتُغشى عينُهُ وتُقطَعُ أذنُهٌ ويكتبُ بين عينيْهِ كافرٌ فلا يَخفى على كلِّ مسلمٍ فيفارقُهُ كلُّ أحدٍ منَ الخلقِ في قلبِهِ مِثقالُ حبةٍ من خَردلٍ من إيمانٍ

“Tanpa syak lagi Dajjal akan muncul dari arah Timur. Dia akan mengajak kepada agama maka dia akan diikuti dan menzahirkannya. Kemudian pergi ke Kufah, kemudian mengaku sebagai Nabi. Yang berakal akan meninggalkannya. Selepas itu dia mengaku pula akulah Allah!. Ketika itu matanya dicederakan, telinganya dipotong, dan dahinya tertulis kafir. Orang Islam yang memiliki iman sebesar biji sawi akan meninggalkannya.”

[HR Thabrani] 

Hadis ini menyatakan bahawa Kufah akan menjadi salah satu antara destinasi Dajjal. Pada awal kemunculannya, dia merupakan diri sebagai tokoh agama Islam yang ikonik sehingga mampu menarik orang kepadannya. Mereka yang lemah iman akan terpedaya dan mengikut beliau.

Hari ini muncul ramai tokoh agama yang mampu berpidato dan menggunakan bahasa agama bagi menarik orang kepada mereka. Malangnya mereka memutarbelitkan agama dengan pandangan songsang yang tidak benar. Antaranya dakyah memahami Islam atas nama Maqasid Syariat, tetapi kebanyakan kefahaman itu bertentangan dengan tuntutan syariat. Antara yang lain ialah menerima al-Quran tetapi menolak hadis. Islam tetapi banyak ajaran Islam dianggap tidak lagi relevan dan kondusif. Juga muncul pemikiran pelik seperti Islam-Liberal, Muslim-Demokrat, Islam-Sosialis, pasca-Islamisme, pop-Islamisme dan bermacam lagi bentuk pemikiran yang menyeleweng daripada keaslian Islam. Apa yang menyedihkan, mereka Berjaya mengumpul ramai pengikut. Sabda Rasulullah S.A.W: 

أَخْوَفُ مَا أَخَافَ عَلَى أُمَّتِي كُلُّ مُنَافِقٍ عَلِيمُ اللِّسَانِ

“Perkara yang paling aku takuti menimpa umatku adalah setiap munafiq yang memiliki lidah dan alim.”

[HR Ahmad, Thabrani dan Bazzar]

Jalan untuk selamat daripada Dajjal adalah berpegang teguh dengan al-Quran mengikut kaedah yang telah digariskan oleh ulamak Islam zaman berzaman. Jadikan al-Quran sebagai pedoman hidup, bukan sekadar bacaan di lidah atau halwa telinga sahaja.

1 Ramadhan 1440
6 Mei 2019

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 6/5/2019

 FB IMG 1557140028673

- Advertisement -