Muslimat-Wanita Pasir Salak seia sekata

- Advertisement -
PASIR SALAK: Muslimat PAS Kawasan dan Wanita Umno Bahagian bagi Parlimen Pasir Salak telah mengadakan Majlis Ramah Mesra di Kampung Gajah, di sini kelmarin dahulu.
 
Program julung kali kedua-dua sayap PAS dan Umno itu merupakan kesinambungan dan pengukuhan antara kedua pihak yang terdahulu telah terjalin termasuk di Negeri dan Pusat.
 
Ketua Muslimat PAS Pasir Salak, Jamaliah Sudin berkata, kedua pihak kini mengangkat perjuangan bersama iaitu memartabatkan Islam dan mengerat persaudaraan sesama bangsa Melayu.
 
Beliau sempat menyeru agar menjadikan kemuliaan Ramadan untuk mempertingkatkan amalan termasuk tidak mengabaikan ibadah sunat dan bukan sibuk dengan juadah.
 
Manakala Ketua Wanita Umno Pasir Salak, Dato’ Dr Wan Norashikin Wan Nordin yang juga Adun Kampung Gajah melahirkan syukurnya kerana Allah S.W.T telah dorong kedua pihak bersatu.
 
“Untuk saling melengkapi dan bina kekuatan. Politik tidak lari daripada menjaga kepentingan Islam dan Melayu. Maka kerjasama amat perlu demi mempertahankan hak kita dan kita perlu bertegas,” ujar beliau.
 
Serunya, Muslimat dan Wanita mesti berperanan untuk bertemu masyarakat selain menyokong gesaan Jamaliah supaya kaum wanita diberi peranan lebih besar dalam politik. – HARAKAHDAILY 6/5/2019
- Advertisement -