Isyarat tindak balas ummah terhadap gugatan pro-PH

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam yang diadakan menjelang Ramadan dilihat bakal menyemarakkan lagi momentum ummah khususnya dalam kalangan orang Melayu-Islam di negara ini.
 
Dengan sambutan memberangsangkan pada siri-siri atas nama Himpunan Perpaduan Ummah di seluruh negara sebelum ini, ia dijangka lebih mengakar dan mengukuh sepanjang Ramadan yang bermula lusa.
 
Ternyata ia turut merangsang usaha ke arah penyatuan dua parti Melayu-Islam terbesar negara iaitu PAS dan Umno hingga tidak disenangi pihak PH yang cuba memburukkan dengan tohmahan dan label jahat.
 
Walhal menurut Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad kesatuan Melayu-Islam itu adalah manifestasi kebangkitan terhadap dasar-dasar PH yang ternyata ghairah menggugat kepentingan kaum dan agama.
 
Walaupun himpunan seumpama telah menzahirkan amaran tegas kepada pemerintah PH berkenaan isu ICERD tahun lalu, terkini suara dari kelompok pro-PH tetap degil untuk Malaysia menerima Statut Rom.
 
Malah terbongkar tindakan Kerajaan PH menandatanganinya, sebelum Kabinet akhirnya bertindak menarik diri setelah Majlis Raja-Raja tidak memberi perkenan, bahkan juga tidak disembah maklum terlebih dahulu.
 
Namun, sikap kurang ajar kalangan tertentu dilihat terus mencabar dan berani berseteru terhadap pihak istana dengan berkelakuan tegar untuk perjanjian antarabangsa bernuansa penjajah itu dipaksa terima.
 
Petang ini, ummah sekali lagi bertindak balas untuk memberi peringatan awal kepada semua ancaman berkaitan di mana pastinya menyuntik sebagai kekuatan lebih hebat bersama roh Ramadan yang datang. – HARAKAHDAILY 4/5/2019
- Advertisement -