Bina Pangkalan Hadapan di Laut China Selatan

- Advertisement -
ANCAMAN keselamatan ke atas perairan Malaysia di Laut China Selatan yang semakin bertambah saban hari telah menjadikan sebuah Pangkalan Laut Hadapan suatu keperluan bagi tujuan memperkukuhkan kehadiran penguatkuasa (presence) dan mempercepatkan respon tindakan (rapid  deployment). Hal ini ditambah lagi dengan pencerobohan besar-besaran oleh warga asing dalam kawasan Zon Ekonomi Ekslusif negara seperti yang dibuktikan dengan tangkapan 6 bot nelayan Vietnam dengan 64 tekong dan awak-awak oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui KM PEKAN minggu lalu.
 
Saya ingin mengucapkan syabas dan syukur atas kejayaan KM PEKAN yang sekali lagi telah dapat menahan 6 lagi bot Vietnam di kedudukan 150 Timur Laut Kuala Terengganu. Kali ini 37 orang tekong dan awak awak ditahan usai sehari sebelum Hari Pekerja 1 Mei. Tahniah sekali lagi kepada APMM. 
 
Kejayaan ini tidak boleh menafikan keperluan Pangkalan Hadapan ini bahkan menguatkan lagi kepentingannya. Tambahan lagi keselamatan pekerja pelantar minyak Malaysia   dalam kebimbangan ekoran kecenderungan nelayan asing ini menangkap ikan berhampiran pelantar minyak. Malah, ingatan kita masih segar dengan kejadian rampasan kapal tangki Orkim Harmony yang hilang dalam perairan negara pada 2015 dan dijumpai di perairan Kemboja, 210 batu Nautika daripada Pulau Redang. 
 
Untuk memastikan kos yang efisyen, Kerajaan Persekutuan sewajarnya boleh bekerjasama dengan Petronas bagi membina Pangkalan Hadapan Laut secara perkongsian dan gunasama untuk agensi seperti APMM dan TLDM. Model pembinaan Pengkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di Timur Sabah oleh Petronas boleh digunakan untuk pembinaan Pangkalan Laut China Selatan. 
 
Mengikut Laporan Unjuran Aktiviti Petronas 2019-2021, Petronas akan menyahtaraan atau ‘decomissioning’ beberapa pelantar minyak milik mereka. Adalah lebih baik jika Petronas dapat mengenalpasti pelantar yang sesuai dan mengubahsuai menjadi Pengkalan Hadapan Laut untuk menjaga keselamatan Pantai Timur Malaysia. 
 
Di samping itu, Kerajaan Persekutuan juga boleh bekerjasama dengan syarikat-syarikat pengeluar minyak yang lain untuk menambah baik aset kawalan keselamatan negara. Cukuplah kejadian pencerobohan asing dalam perairan negara dan mengaut hasil mahsul negara ini berlaku. Langkah segera perlukan dilakukan sekarang demi menjaga kedaulatan tanah tumpah negara kita ini. 
 
YB HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
- Advertisement -