Tekad bangunkan gagasan ‘Johor: Serambi Istanbul’

- Advertisement -
GENERASI anak muda bangsa Johor yang bersama perjuangan PAS hari ini penuh yakin bahawa pemerintahan Islam akan kembali menjadi teras kerajaan di negeri Selatan Tanah Air itu pada masa depan. Memacu kejayaan ke arah itu bukan angan-angan Mat Jenin yang sekadar retorik mahupun wacana tidak berkesudahan. Sebaliknya secara khusus Pemuda PAS Negeri Johor selaku bakal penyambung perjuangan telah mempunyai gagasan besar yang akan diterjemahkan, iaitulah mengangkat Johor sebagai ‘Serambi Istanbul’.
 
Ketua Pemuda PAS Johor, Ustaz Juwahir Amin berkata, mungkin ramai anak muda negeri itu tidak mengetahui latar belakang sejarah, bahkan barangkali juga kebanyakan rakyat tidak menyedari persamaan Johor dengan Istanbul. Cerita beliau, hubungan Kesultanan Johor dengan Khalifah Uthmaniyah bermula sejak tahun 1885 lagi apabila Empayar itu mengiktiraf Sultan Johor. Baginda yang memakai gelaran Sultan Abu Bakar Alkhalil Ibrahim Shah, menjalinkan hubungan diplomatik antara kedua pihak itu yang berlangsung erat sehingga tahun 1922.
 
“Saya berpandangan, melalui konsep ‘Mirror and Matching’, Negeri Johor mempunyai banyak persamaan dengan sebuah bandar Islam yang maju iaitu Bandar Istanbul di Turki. Istanbul merupakan penghujung Benua Asia di sebelah atas peta dunia. Menjadi perhubungan kepada negara Eropah.
 
“Johor merupakan bahagian terakhir Benua Asia di sebelah bawah. Berhubung pula dengan Singapura yang menjadi pusat ekonomi, perdagangan dan perindustrian strategik negara Eropah sebelum masuk ke negara Asia Tenggara. Kedua-dua negeri ini adalah Pusat Dunia yang ‘memiliki’ Timur dan Barat,” kemuka beliau.
 
Keunikan bersejarah
 
Terang Juwahir, mercu tandanya dapat dilihat gah hingga ke hari ini pada beberapa bangunan khususnya istana dan masjid lama yang dipengaruhi corak binaan dari Wilayah Khalifah Uthmaniyah. Begitu juga keunikan yang menggambarkan kuatnya hubungan kedua pemerintahan tersebut sebagaimana dikupas anak muda ini, adalah persamaan pada jata dan bendera. Jata dan bendera Khalifah Uthmaniyah dan Kesultanan Johor saling memiliki bulan sabit dan bintang serta warna merah, dengan Johor turut menambah warna biru sebagai kerasmian kesultanannya.
 
Beliau juga berminat untuk menyamakan Istana Topkapi dengan Istana Bukit Serene yang menjadi tempat bersemayam ketua tertinggi bagi masing-masing pemerintahan tersebut selaku Khalifah dan Sultan. Bahkan, turut menjadi kebanggaan kepada beliau dan mungkin ramai orang apabila kedua-dua pemerintahan ini memiliki angkatan keselamatan tentera khasnya sendiri. Khalifah Uthmaniyah dilengkapi dengan Tentera Janissari, manakala di bawah Kesultanan Johor ditubuhkan Askar Timbalan Setia yang kekal hingga hari ini dan menjadi pasukan tertua di Malaysia.
 
‘Titik’ Timur dan Barat
 
“Istanbul merupakan kota perlabuhan yang dikelilingi oleh Selat Bosporus yang menjadi pengantara Istanbul di Benua Asia dan bahagian Eropah, juga Golden Horn dan Laut Marmara. Manakala bumi Johor pada bahagian Daerah Johor Bahru mempunyai dua buah pelabuhan yang besar, iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas di Iskandar Putri dan Pelabuhan Tanjung Langsat di Pasir Gudang. Disamping itu, Johor dikelilingi oleh Laut Cina Selatan, Selat Melaka dan Selat Tebrau yang menjadi penghubung antara Johor dan Singapura. 
 
“Maka untuk merancakkan ekonomi dan kitaran ekosistem yang lebih baik di Selat Tebrau, saya suka mencadangkan kerajaan untuk menggantikan Tambak Johor dengan terowong dasar laut. Dengan terbinanya yang menjadi laluan kenderaan bermotor, keretapi dan perhubungan perbekalan elektrik dan air, Selat Tebrau akan kembali hidup dengan ekosistem yang lebih baik. Paling penting menjadi laluan kapal pelancongan, perhubungan dan perdagangan berskala kecil. 
 
“Sekiranya ini berlaku, kita akan lihat pembangunan dan pelancongan akan berkembang pesat di seluruh jajaran Selat Tebrau, Sungai Tebrau dan kejiranan Singapura. Ianya pasti membawa kebaikan kepada kedua-dua belah negara. Istanbul dan Johor juga dikenali sebagai pusat perindustrian yang rancak dan berkembang menjadi sebuah Bandar Islam yang moden,” ujar Juwahir mengait geografi Istanbul dan Johor bersama pandangan futuristik beliau.
 
Agenda ‘Fathul Jawhar’
 
Menerobos masa depan, beliau memasang impian mengangkat ketamadunan bangsa dan negeri itu sebagai sebuah Perbandaran Islam Moden menerusi agenda ‘Fathul Jawhar’ (Pembukaan Johor) sebagaimana Turki berjaya menjadikan Istanbul Bandar Islam Moden di mata dunia. Jelas Juwahir, dengan tema “Johor: Verandah of Turkey” atau “Johor: Serambi Turki”, maka impian itu dapat direalisasi bermula dari sekarang ini. Katanya, pembangunan kemanusiaan dan fizikal harus seiring dalam mendukung gagasan dan agenda ini.
 
“Untuk pembangunan fizikal, suka saya mencadangkan terutama kepada pihak kerajaan supaya menfokuskan membina sebanyak-banyaknya persamaan secara zahir dari sudut senibina, penjenamaan nama-nama lokaliti dan taman atau perumahan baharu. Supaya dapat meransang minda bangsa Johor yang rata-rata inginkan kemajuan dan pada masa yang sama mempunyai nilai Islam yang tinggi dalam jiwa mereka. 
 
“Yang kedua, saya suka mencadangkan sama ada kerajaan negeri, NGO, Pusat Pendidikan Islam, Vokasional, IPT, Majlis Tindakan Ekonomi Negara menjalinkan hubungan dengan Kerajaan Turki dan Bandar Istanbul bagi membina hubungan yang lebih erat, merancakkan perdagangan dua hala, perkongsian teknologi dan kebudayan serta memperkasakan pendidikan,” utara beliau.
 
Fokus pembangunan insan
 
Di peringkat Pemuda PAS Johor maklumnya, gigih berusaha membangunkan institusi pendidikan yang ‘kaffah’ mencakupi keperluan duniawi dan ukhrawi. Di mana katanya, pembangunan institusi pendidikan ini melibatkan semua peringkat umur daripada bayi dan kanak-kanak di TASTI, murid pra-sekolah di PASTI Pra Tahfiz, pelajar sekolah rendah di SRITI Tahfiz dan pelajar menengah di SMITI Tahfiz. Seterusnya berharapan mereka menyambung pengajian di kolej universiti kelolaan PAS, Institut Pengajian Tinggi Awam dalam dan luar negara. 
 
“Mudah-mudah dengan usaha pembangunan pendidikan di semua peringkat yang ‘kaffah’ ini, akan melahirkan Generasi Soleh Pintar yang akan memimpin negeri Johor sebagai sebuah negeri moden dari sudut pembangunan dan Islamik dari sudut ketamadunannya. Kami sedar, ianya bukan mudah. Akan tetapi marilah kita memulakan usaha yang murni ini,” serunya penuh optimis. – HARAKAHDAILY 1/5/2019
20190501 100202
 
- Advertisement -