Ta’awun PAS-Umno: PH kini di ‘graf putus asa’

LARUT: Fasa dilalui PAS mendepani pelbagai cabaran sejak penubuhan tahun 1951 telah memperkuatkan akidah perjuangan ahli-ahlinya, demikian menurut Yang DiPertua PAS Kawasan Larut, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin.
 
Namun menurut beliau, fasa sedang dilalui kini khususnya ahli-ahli PAS di Larut adalah kemenangan dua kerusi yang sangat perlu kurniaan diperolehi ini dijaga dan diurus dengan sebaiknya.
 
“Kita jangan berasa telah selesa bila menang, jangan sekali-kali berasa demikian kerana rakyat sekeliling sedang perhatikan kita. Ujian kemenangan lebih kuat berbanding ujian meraih kemenangan.
 
“Sahabat-sahabat yang pernah menang pilihan raya sebelum ini peringatkan saya bahawa jaga kemenangan lebih susah. (Selama) 60 tahun kita berjuang cari kemenangan.
 
“Rupanya dalam tempoh setahun ini, (rasa) menjaga kemenangan lebih susah dari meraih kemenangam dalam tempoh 60 tahun,” ujar pada Liqa Fikri PAS Larut di Markas PAS Cawangan Simpang Tiga Gudang, di sini semalam.
 
Beliau mengingatkan kepentingan jentera berganding bahu agar kemenangan yang ada dalam genggaman tidak terlepas ke pihak musuh dan sentiasa akur serta wala’ kepada keputusan pimpinan biarpun tidak popular.
 
Kerana menurutnya, cabaran PRU15 akan lebih besar yang menuntut kerja dan bukan hanya sembang di kedai kopi, memandangkan PH sudah berada di ‘graf putus asa’ setelah merasai bahang kerjasama PAS-Umno.
 
Bersandar keyakinan kepada Allah, beliau percaya Kerajaan Islam pertama akan dapat didirikan pada PRU15 nanti sama ada memerintah negeri mahupun Persekutuan, sekali gus menjadi ujian lebih besar.
 
“Keistimewaan (anggota) jamaah kita, sentiasa wala’ pada pimpinan. Wala’ bukan hanya pada keputusan yang kita suka, tetapi terhadap perkara kita tak suka.
 
“Sekarang kita boleh lihat betapa ramai di luar sana menyambut baik kerjasama ini yang selama ini mustahil disebabkan perseteruan 60 tahun,” ujarnya dihadapan semua Ahli Jawatankuasa PAS Larut dan Ketua PAS Cawangan-cawangan itu. – HARAKAHDAILY 1/5/2019
IMG 20190501 WA0032