Jabatan Amal Johor kini bangkit semula

- Advertisement -
AYER HITAM: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Johor kini giat membangunkan kembali kekuatan entiti itu selepas perpecahan yang pernah melanda sehingga sebahagian daripada anggotanya menyertai PAN dan menubuhkan ARIF.
 
Semangat mereka makin tersuntik apabila salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Amal Johor, Azhar Surif memberi kebenaran menggunakan premis milik beliau yang asalnya sebuah bengkel besi sebagai Markas Operasi Amal Johor.
 
Menurut Pengarah JAM Johor, Iqbal Ghani Ismail, fasa pertama binaan struktur asas telah selesai dibangunkan dengan kos RM13,000 dan fasa kedua melibatkan pembelian peralatan pejabat dengan anggaran kos RM7,000.
 
Setelah itu katanya, fasa ketiga akan menyiapkan pagar luar dan lain-lain yang dianggarkan bakal menelan belanja RM10,000 di mana semua wang diperolehi mereka dari kupon pembangunan dana dan infaq PAS Kawasan serta individu.
 
Jelas Iqbal, kedudukan strategik markas operasi itu yang terletak di tengah-tengah negeri Johor, sekali gus akan memfungsikannya untuk mesyuarat bulanan, program, serta kursus dalaman, selain juga selaku Bilik Operasi Bencana Negeri.
 
Pada ketika ini maklum beliau, terdapat aset yang masih dimiliki pihaknya seperti bot, khemah-khemah, peralatan trafik, mesin gergaji dan lain-lain, walaupun sebahagiannya telah dibawa lari oleh rakan lama.
 
Atas gemblengan tenaga yang bersungguh-sungguh serta kesatuan dan kesepaduan fikrah juga gerak kerja, kini keahlian Amal seluruh negeri Johor telah meningkat kepada 200 anggota yang bersiap siaga untuk menerima arahan.
 
Dalam perancangan terdekat juga, mereka mahu membangunkan sebuah rumah sebagai kediaman kepada balu dan anak-anak anggota Amal Johor yang telah meninggal dunia iaitu Allahyarham Azhan Atan.
 
Usaha itu sebagai mengenang komitmen Allahyarham kepada Amal di mana Azhan juga merupakan artis nasyid terkenal lahir sebagai Juara Akademi Nasyid iaitu rancangan realiti TV9, selain meringankan beban keluarga ditinggalkan.
 
Sebarang sumbangan boleh dihulurkan menerusi akaun BIMB 01032010044951 atas nama DPPJ Jabatan Amal Johor dan sebarang pertanyaan boleh hubungi Pegawai Kewangan JAM Johor di talian 011-6933 5109. – HARAKAHDAILY 1/5/2019
20190501 094224
- Advertisement -