Persidangan Al-Quds: Ummah perlu ‘luttuk sipakaraja, malik siparappe!’

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH. Catatan ini ditulis 37,181 kaki di atas paras laut di dalam pesawat Airbus A380-800 dengan nombor penerbangan Lufthansa LH0778, dari Frankfurt, Jerman ke Singapura dalam perjalanan pulang ke negara tercinta Malaysia setelah selesai menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Al-Quds kali ke-3 anjuran القدس أمانة di Tunis, Tunisia .

- Advertisement -

Ummah ini perlu ‘luttuk sipakaraja, malik siparappe’! Itulah kesimpulan yang saya rasakan tepat bagi menggambarkan dapatan dari persidangan tersebut dan kerja buat yang perlu sama-sama kita usahakan.

‘Luttuk sipakaraja, malik siparappe’ merupakan sebuah pepatah Bugis yang lebih kurang bermaksud ‘terbang sama meninggikan, hanyut saling berpaut’. Ia sinonim dengan pepatah Melayu ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’ dan ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!’

Saya suka untuk mulakan catatan ini dengan mengajak kita semua menghayati Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dari Surah Al-Fath ayat 29 berikut. Ayat ini sebahagian dari firman Allah yang dibacakan oleh Qari dari Algeria di hari pertama pembukaan persidangan:

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ

“Muhammad itu adalah Utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan Baginda adalah tegas terhadap orang-orang kafir, tetapi sangat berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaanNya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud.”

Saya diberi peluang menyampaikan ucapan di dalam persidangan ini mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia – DPPM. Turut berucap ialah perwakilan dari Tunisia, Algeria, Maghribi, Jordan, Lubnan, Kuwait, Qatar, Turki dan tentunya Palestin. Kesemua ucapan penuh bersemangat dan berkobar-kobar demi Palestin dan Masjid Al-Aqsa.

Tetamu khas Mujahidah Palestin Khadijah Khuwais juga telah menyampaikan ucapan penuh bermotivasi diiringi airmata mengenai perjuangan Al-Quds. Wanita kental ini yang pernah ditahan 13 kali termasuk dizalimi dan kini disenarai hitam oleh Zionis telah diberi anugerah dan penghargaan khas di dalam persidangan sebagai inspirasi.

Di dalam ucapan saya, saya telah menegaskan bahawa rakyat Malaysia meskipun jauh dipisahkan dari bumi Al-Quds, namun perjuangan Palestin sentiasa di hati! Para pejuang yang memahami aspirasi ummat sudah tentu akan berjuang atas kapasiti dan kemampuan yang ada dalam memastikan bumi bertuah Palestin kepada menjadi milik umat Islam!

Saya turut membaca Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam berikut di awal ucapan:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Maka damaikanlah antara saudaramu dan takutlah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah Al-Hujurat, ayat 10)

عَنْ أَبِي حَمْزَةَ أَنَس بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، خَادِمِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ [رواه البخاري ومسلم]

“Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik radhiyalLahu ‘anh, pembantu Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, dari Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, Baginda bersabda, “Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selanjutnya saya memberitahu hadirin di multaqa tersebut betapa Malaysia insya-Allah sentiasa bersolidariti dengan Palestin! Kita tidak sama sekali akan mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara, bahkan yang ada hanyah negara Palestin yang diduduki dan dijajah secara rakus oleh Zionis Yahudi. There is no Israel, that land is the occupied Palestine!

Lebih dari itu, saya menyatakan komitmen ini termasuklah dibuktikan di dalam Passport Malaysia di mana di muka utamanya jelas tertera “Passport ini sah digunakan untuk semua negara kecuali Israel. This passport is valid for all countries except Israel.” Ini kerana kita tidak akan sama sekali mengiktiraf negara yang dibina dengan rampasan dan kelicikan ini. Hadirin memberi tepukan gemuruh dan bertakbir saat saya menyatakan perkara ini!

Apapun, selepas itu saya menyebut perlunya kita umat Islam bermuhasabah! Mengapa Palestin terus dijajah dan rakyat Palestin terus ditindas? Cukupkah sudah solidariti dan ukhuwah persaudaraan umat Islam kepada saudaranya di Palestin? Retorika di persidangan ini mampukah dijadikan tindakan konkrit sebagai langkah maju ke hadapan dalam perjuangan membebaskan Palestin?

Saya mencabar sahabat-sahabat negara serumpun yang dekat secara geografi dengan Palestin agar memainkan peranan dan mendesak kerajaan mereka lebih tegas dalam berhadapan kebokbrokan Zionis. Ia tidak mudah, namun kesatuan hati dan kejelasan fikrah perlu menjadi asas kepada tindakan-tindakan yang lebih besar.

Lihatlah sahaja di atas peta. Palestin itu dikelilingi oleh negara-negara ummat Islam! Bersempadan dengan Mesir, Jordan, Lubnan dan Syria serta sangat dekat berbanding Malaysia dengan negara Arab Timur Tengah seperti Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Qatar, UAE, Oman, Yaman, Iraq dan Iran serta negara Afrika Utara seperti Libya, Sudan, Tunisia, Algeria dan Maghribi bahkan Turki.

9 juta penduduk di negara yang menggelar ‘Palestin yang diduduki’ sebagai ‘Israel’ tidak dapat dikalahkan oleh hampir 2 Billion umat Islam yang mana 25% darinya tinggal di negara-negara berjiran dengan negara ‘Israel’ tersebut!

Saya seterusnya menyatakan, ayuhlah kita bersama dalam perjuangan ini! Kami di Malaysia meski jauh di sudut geografi akan berusaha memberi kesedaran kepada rakyat akan kepentingan perjuangan Palestin melalui pengukuhan iman, kemantapan organisasi, pembinaan ilmu, sumbangan infaq dan tidak dilupakan doa munajat memohon kemenangan dari Allah Azza Wajalla yang Maha Berkuasa atas segala-galanya.

Saya juga sempat memperkenalkan PASRelief, iaitu satu badan kemanusiaan di bawah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang mana misi perjuangan termasuklah memberi bantuan kepada rakyat Palestin. Di Malaysia juga terdapat banyak pertubuhan NGO memperjuangkan hak Palestin seperti Palestinian Cultural Organization Malaysia (PICOM), Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care, Aman Palestin, MyCare (dulunya Aqsa Syarif), Cakna Palestin, HALUAN Palestin, Yayasan Al-Quds Malaysia dan pelbagai lagi pertubuhan yang bersolidariti dengan Al-Quds.

Saya akhiri ucapan saya dengan optimis bahawa masa depan di tangan Islam dan Palestin insya-Allah satu masa nanti akan kembali menjadi milik umat Islam! Saya menanam harapan dan berkongsi rasa dengan hadirin dengan menyatakan impian jika persidangan pertama dan kedua mengenai Al-Quds anjuran القدس أمانتي ini telah diadakan di Istanbul dan tahun ini kali ketiga di Tunis, sama-samalah kita berdoa semoga persidangan seterusnya atau dalam tahun mendatang akan boleh diadakan di bumi Al-Quds Palestin!

Sepanjang persidangan ini juga telah dibincangkan projek-projek yang akan digerakkan dan telah dibengkelkan beberapa strategi yang perlu disusun. Latihan-latihan seperti pengurusan isu, pengurusan media dan lain-lain juga telah diadakan. Tayangan video-video perjuangan Palestin gabungan yang penuh motivasi dan menyentuh hati juga telah mewarnai persidangan kali ini.

Semoga segala apa yang diucaptamakan, diucapkan, dibincangkan dan dibengkelkan mendapat rahmat dan berkat serta dipermudahkan urusan pelaksanaannya oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Buat akhirnya, ketahuilah olehmu bahawa Bumi Isra’ Mi’raj Palestin yang ada padanya Masjid Al-Aqsa itu sangat istimewa dan sebahagian dari keimanan para Mukminin. Bersama kita selami firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala berikut. Surah ini dibaca oleh Qari dari Tunisia pada permulaan hari kedua persidangan:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آَيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Isra, ayat 1)

Akhirul kalam.. ٱنفِرُوا۟ خِفَافًا وَثِقَالًا Infiru khifafan wa tsiqalan! Siiru ‘ala barakatillah, teruskan perjuangan!

#TerusMara
#Lebai Engineer
#PalestinDiHati
#IslamMemimpin
#SejahteraBersamaIslam
#OurUmmahOurResponsibility
#MempersiapGenerasiKemenangan
#BeristiqamahHinggaKemenangan

MUHTAR SUHAILI AS-SARAWAKI
Perwakilan Malaysia,
3rd International Conferende on Al-Quds
27-28 April 2019M | 21-22 Sya’ban 1440H
Hôtel Sol Azur Beach Congrès, Hammamet, Tunis, Tunisia. – HARAKAHDAILY 29/4/2019

quds1

quds2

quds3

- Advertisement -