Wujud gerakan gagalkan kerjasama PAS-Umno

- Advertisement -

PADANG RENGAS: Terdapat pihak yang tidak senang dengan kesatuan dan hubungan baik PAS-Umno hingga bertindak menghasut ahli bawahan dan mewujudkan gerakan untuk menggagalkan jalinan dua pihak ini.

- Advertisement -

Perkara tersebut didedahkan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria pada Ceramah Kebangkitan Ummah anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di Kampung Labu Kubung, di sini kelmarin.

“(Ada orang) asyik mari cerita ni, datang (kata kepada) orang PAS. “Umno ni duk mencuri-curi apa semua ni. Kleptokrasi, kleptokrasi. Dia (Umno) dah mati hangpa (orang PAS) perhidupkan balik.” (Perkara) ni sedang masuk ikut (peringkat) bawah ni. Yang asyik cerita kat bawah.

“Kita ikut(lah) berdasarkan undang-undang. Nah! Kalau (betul) salah. Bawa pergi (siasat dan dakwa). Jangan asyik kata salah, ada-ada salah, bawa (bukti) Ada siapa bela (Dato’ Sri) Najib? Bawa pergi, biar mahkamah tentukan.

“Kalau kita bercakaran, mereka akan gunakan pelbagai cara untuk memisahkan kita dengan menaja orang-orang yang impikan kedudukan. Melayu yang lapar dedak ni tak ramai. (Walaupun tak ramai) puak-puak makan dedak ni jangan dibiar membiak,” ujar beliau yang juga Adun Gunung Semanggol.

Secara sinis katanya, beliau tidak hairan jika serangan itu datangnya daripada Nga Kor Ming atau Lim Guan Eng, malangnya wujud tukang bela dari kalangan Exco Agama.

“Marilah kita pakat mengaji. Kita orang Islam. Kita tahu rukun Islam lima perkara. Pertama, mengucap dua kalimah syahadah. Kedua, sembahyang lima waktu. Ketiga, berpuasa bulan Ramadan.

“Puasa (dan semua ibadah itu) ada sah dan batal. Haji ada sah dan batal. Syahadah pun ada sah dan batal. Itu yang kita nak cerita. (Tapi) Sampai begitu sekali Exco Agama (tak faham). Cukuplah kita dapat Menteri seorang macam tu. Jangan nak tambah (seorang) lagi,” ujar beliau lagi.

Perkara seumpama turut dinyatakan Pengerusi Umno Perak, Dato’ Shaarani Mohamad yang juga Ketua Pembangkan Dun Perak ketika berucap pada ceramah tersebut.

“Sampai ke telinga saya, ada maklumat. DAP akan buat gerakan untuk mencari jalan menggagalkan usaha (kerjasama) ini. Dia (DAP) akan cari orang Umno yang tak setuju. Dia (DAP) cari orang PAS yang tak setuju. Kedua-dua ini akan digabungkan.

“Tak mustahil kalau DAP menaja parti baru untuk orang-orang ini. Mereka pula akan bermusuh dengan kita,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Adun Lubuk Merbau, Dr Jurij Jalaluddin dan Yang DiPertua PAS Kawasan Padang Rengas, Shukri Mat Amin serta Naib Ketua Umno Bahagian Padang Rengas, Khairuddin Mohamed Azahar.

Juga Ketua Wanita dan Ketua Puteri Umno Padang Rengas, Datin Sabariah Alang Wahab dan Susmaniza Sulaiman. – HARAKAHDAILY 28/4/2019

- Advertisement -