Utamakan peribumi, kuat kuasa pindaan Sek.6A(2)

- Advertisement -
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2018 selepas Seksyen 6A (2) dan Seksyen 6A (3) (b) dipinda. 
 
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata dengan pindaan Seksyen 6A (2), had kawasan tuntutan kawasan wilayah liputan peribumi (Native territorial domain-NTD) ditambah sehingga 1,000 hektar berbanding sebelum dipinda hanya 500 hektar.
 
Kami menerima aduan dari penduduk Kampung Usahajaya Tukau Miri, Sarawak yang tanah mereka akan diambil oleh pihak pemaju dan mereka memohon agar Kerajaan Sarawak menguatkuasakan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2018 selepas Seksyen 6A (2) dan Seksyen 6A (3) (b) dipinda.
 
Jika pindaan seksyen 6A (2), had kawasan tuntutan ke atas pribumi (Native Territories Domain – NTD) tidak dikuatkuasakan, ia boleh menjejaskan tanah dan tempat kediaman mereka yang telah diterokai oleh datuk nenek mereka dahulu.
 
Antara objektif utama Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2018 adalah untuk memberi NTD kuasa undang-undang, dan untuk mengeluarkan hakmilik NTD selama-lamanya kepada penduduk pribumi.
 
Kami menggesa kerajaan Sarawak, prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh masyarakat peribumi Sarawak yang mewarisi tanah pusaka mereka dari generasi ke generasi tetapi tidak mempunyai hak milik atau geran tanah. Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada penduduk pribumi dulu sebelum memberi pemaju peluang untuk membangunkan tanah mereka.
 
Kalau penduduk peribumi yang memiliki tanah pusaka mereka dihalang dan diusir dari tempat kediaman mereka, apa yang akan terjadi dengan nasib anak bangsa peribumi di masa akan datang?
 
Adakah kerajaan Sarawak mahu melihat keadaan hidup mereka seperti gelandangan atau ‘menjadi pelarian’ di tanah air mereka sendiri dan mereka hidup dalam kemiskinan tiada tempat tinggal dan tempat mereka bercucuk tanam untuk menyara kehidupan harian mereka juga dirampas oleh pihak pemaju?
 
Kami sekali lagi menggesa dan merayu kepada Kerajaan Sarawak agar Kanun Tanah (Pindaan) 2018 selepas Seksyen 6A (2) dan Seksyen 6A (3) (b) yang dipinda dikuatkuasakan dengan serta-merta untuk menjaga kepentingan peribumi Sarawak dan selamat untuk diduduki tanpa campur tangan dari mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan.
 
Mudah-mudahan masalah ini boleh diselesaikan dengan cara yang terbaik dan memberi manfaat kepada semua pihak dan biarkan ia berada dalam situasi menang-menang. Kerjasama dengan semua pihak yang berkaitan untuk menyelesaikan masalah ini dengan sebaik mungkin dan dengan serta-merta sangat dihargai.
 
JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya 
PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 28/4/2019
- Advertisement -