Jalinan PAS-Umno hingga PRU15

- Advertisement -

ALOR SETAR: Majlis Makan Malam dan Ceramah Perpaduan Ummah anjuran PAS Kedah, merupakan satu terjemahan kepada konsep taawun bersama Umno sepertimana disebut pemimpin PAS sebelum ini

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dalam sidang media pada malam tadi berkata, konsep taawun yang diperkenalkan PAS merupakan satu jalinan persahabatan untuk kesatuan Islam dan orang Melayu secara amnya.

“Jalinan persahabatan antara kedua-dua parti ini akan terus dijalin dengan baik sehinggalah PRU ke-15 nanti,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, dalam keadaan suasana politik tidak menentu serta tidak memihak kepada Islam, memerlukan satu ikatan kerjasama antara dua parti pembangkang dan juga terbesar di Malaysia untuk membentuk kekuatan umat Islam.

Katanya lagi, hasrat PAS untuk melihat kemakmuran negara di mana kedudukan agama dan umat Islam terjaga tanpa mengenepikan bangsa-bangsa lain sejajar dengan kehendak Islam yang termaktub di dalam Al-Quran dan Sunnah.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, Pengerusi Umno Kedah, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom berkata, penyatuan PAS dan Umno bukan satu perkara yang baru malah ikatan itu pernah termeterai pada tahun 1974 dahulu.

“Ketika itu Umno dan PAS membentuk kerajaan bersama dan sekarang konsep taawun antara dua parti terbesar ini dijalinkan demi menyelamatkan agama dan umat Islam di mana kedudukannya semakin tergugat di bawah pemerintahan Pakatan Harapan,” jelasnya.

Selain itu beliau menarik perhatian agar rakyat melihat pada 1974, Melayu berpecah kepada dua sahaja iaitu Umno dan PAS tetapi 2019, melayu berpecah kepada banyak parti dan semestinya kesepakatan antara dua parti terbesar itu perlu dikukuhkan hingga menjelang PRU akan datang. – HARAKAHDAILY 28/4/2019

- Advertisement -