Parti dan kerajaan ibarat isi dan kuku

- Advertisement -

DR Alias Razak, Exco kerajaan Terengganu mengingatkan kepada para ulama PAS agar sentiasa berdoa supaya sejarah pemerintahan PAS Terengganu 1999 yang hanya sepenggal tidak berulang.

- Advertisement -

Perkara baik yang dibuat oleh pihak kerajaan, akan beri kesan kepada parti, demikian sebaliknya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Badan Perhubungan PAS Terengganu dalam Muktamar Dewan Ulamak PAS Terengganu di Markaz Tarbiyah PAS Kuala Terengganu, Kuala Ibai pagi ini.

Bagi pihak kerajaan negeri pula, Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) telah dibuat. Ia adalah pelan yang bukan hanya satu penggal pemerintahan, tapi kerajaan mahu masa yang lebih jauh dan lama untuk mencapai benar-benar segala perancangan sehingga tema ‘Maju, Berkat, Sejahtera’ dapat direalisasi dengan sebaik mungkin.

Sebelum PRU14, dibuat pelan ‘Road To Wisma Darul Iman’. Ia adalah pelan bagi menarik sokongan kepada PAS. Ini adalah sebelum PRU14 dan telah dicapai.

Para ulama sangat membantu bagi menerangkan dasar dan prinsip perjuangan PAS, sehingga PAS menang di Terengganu dengan mendapat 2/3 majoriti, walaupun tidak sama dengan pemerintahan pada 1999 yang mendapat jumlah kerusi lebih banyak.

Pasca pilihan raya, kita perlu merancang untuk mengekalkan kemenangan. Kita sudah bincang dalam retreat dan akan bentang kemudian kepada pimpinan baharu selepas muktamar pusat nanti.

Sementara yang berkait dengan parti, kita akan tingkatkan aktiviti tarbiah supaya tidak timbul masalah dalaman. Tarbiah pula perlukan pakar tarbiah, dan pakar tarbiah ada di dalam Dewan Ulamak.

Peranan lebih luas dan besar mesti diberi kepada para ulama untuk pastikan aqidah perjuangan kekal mantap. Ahli PAS pula bertambah agak drastik. Ahli baru perlu ditarbiah. Ahli MPKK sebahagiannya pula tidak datang dari ahli cawangan sahaja yang sudah ditarbiah. Oleh itu, program mentarbiah kumpulan ini sangat penting.

Kerajaan kita dilihat agak tenang. Kita sedia bekerjasama dengan kerajaan pusat. Para exco kita juga melayani wakil kerajaan pusat yang berkunjung ke Terengganu dengan baik. Kita melihat sebahagian negeri lain tiada halatuju. Tetapi kita ada pelan yang jelas untuk negeri Terengganu.

Dua perkara yang dilihat oleh rakyat dan orang lain ialah sejauh mana kita melaksanakan manifesto, dan bagaimana halatuju negeri ini. Kedua-dua perkara ini dapat kita laksanakan dengan baik, cuma ia melibatkan implikasi kewangan, termasuk liabiliti dari kerajaan yang lepas.

Dari 20 manifesto, 13 sudah dilaksanakan dan sedang dilaksanakan. 4 lagi akan dibuat tahun 2020, bakinya tahun seterusnya dengan izin Allah.

Hala tuju pentadbiran negeri melalui PITAS ada butiran jelas yang tertulis. Cuma ia perlukan penjelasan dan pengarahan kepada pegawai kerajaan.

Persiapan dalam semua dewan termasuk Dewan Ulamak perlu dibuat untuk pastikan kita terus memerintah Terengganu selepas PRU15 akan datang.

Perasmian Muktamar Dewan Ulamak PAS Terengganu dibuat oleh Ustaz Zulkarnain Hasan, AJK Dewan Ulamak PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 27/4/2019

- Advertisement -