Berdoa agar pemimpin dapat petunjuk

- Advertisement -

MARANG: Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru umat Islam supaya turut mendoakan pemimpin mendapat petunjuk daripada Allah dalam mengurus tadbir negeri.

- Advertisement -

Di samping itu, katanya umat Islam perlu memperbanyakkan doa untuk kebaikan kepada keluarga dan adik-beradik dalam bulan Ramadhan yang bakal disambut tidak lama lagi.

“Pada bulan Ramadhan, berdoalah juga kepada pemimpin agar diberi petunjuk dalam urus tabdir negeri untuk mentadbir dengan agama agar mendapat berkat daripada Allah,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Penutup Karnival Jom Ke Masjid di Masjid Kampung Ru Muda, di sini, malam tadi.

Dr Samsuri yang juga Adun Ru Rendang turut menyampaikan cenderahati kepada bekas pegawai masjid dan AJK Pemuda Dun Ru Rendang pada sesi jasamu dikenang dalam majlis itu.

Program yang berlangsung sejak Khamis lalu itu adalah julung kali dianjurkan oleh Pemuda PAS Dun Ru Rendang dengan kerjasama Masjid Ru Muda. Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang karnival itu yang melibatkan kanak-kanak, anak muda dan golongan dewasa.

Sementara itu, Pengarah MTD Ru Rendang, Hassan Awang berkata, karnival itu diadakan pada ambang Ramadhan sebagai suatu pendekatan yang diambil oleh pihak Pemuda Dun dalam usaha untuk menarik masyarakat khususnya golongan muda memakmurkan masjid. – HARAKAHDAILY 28/4/2019

- Advertisement -