‘Tengah-tengah kuat PAS, akhirnya lari’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata sikap manusia boleh berubah pada bila-bila masa sehubungan itu, ahli PAS diingatkan tidak terus menghukum mengikut akal fikiran.

- Advertisement -

Beliau mengingatkan tanggungjawab orang Islam apabila melihat manusia melakukan kemaksiatan adalah tidak menghukum sebaliknya bertindak menasihati supaya kembali ke pangkal jalan.

Tuan Guru Abdul Hadi mengulas demikian selepas disoal oleh peserta dalam satu program sesi dialog di Perak pada minggu lalu yang bertanyakan mengenai sejarah dan latar belakang Umno yang telah melakukan banyak perkara terhadap PAS dan ahli-ahlinya.

“Kita kena sedar latar belakang ini bukan sahaja Umno, PAS pun ada latar belakang. Dalam PAS, ada yang tengah-tengah kuat PAS, akhirnya lari daripada PAS.

“Manusia boleh berubah bila-bila masa. Jadi kita jangan pakai hukum akal, kena pakai hukum Allah. Hukum Tuhan yang mengajar kita menarik manusia seramainya kepada kebaikan.

“Kedua, bila melihat orang melakukan kesalahan, tanggungjawab kita bukan menghukum, tetapi menasihat supaya kembali ke pangkal jalan kerana takdir seseorang pada masa akan datang bukan urusan kita. Itu urusan Allah Taala,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Katanya, umat Islam diseru mengajak seberapa ramai manusia kepada Islam dengan menekankan tanggungjawab membetulkan manusia lebih utama daripada menghukum manusia.

“Jangan menghukum dulu, kalau boleh biar orang itu kembali ke pangkal jalan. Ini tanggungjawab kita,” tegasnya.

Beliau mengambil contoh sikap terpuji Nabi Muhammad SAW yang menunjukkan akhlak mulia ketika berhadapan dengan pembunuh Saidina Hamzah Abdul Mutallib iaitu bapa saudara yang amat disayangi Nabi.

Pembunuh yang bernama Wahsyi memperoleh ganjaran syurga selepas memeluk Islam selanjutnya beliau terkorban dalam syahid ketika berperang menegakkan Islam.

“Kita kena sedar dalam PAS, kita boleh buat apa yang zahir saja.Ada orang kuat PAS, habis-habisan dia kuat, saat akhir dia meninggal, dia melawan kita. Ada orang dia lawan kita, saat akhir dia jadi baik dengan kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/4/2019

- Advertisement -